Modenas Z250 ABS 2022 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas RM 19,500.00

Selain daripada model Modenas Ninja 250 2022, Modenas melalui EMOS baru-baru ini dengan rasminya melancarkan jentera naked Modenas Z250 ABS 2022, dengan harga jualan asas RM 19,500.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Model itu tampil dengan dua pilihan warna iaitu Metallic Spark Black dan Candy Cardinal Red.

Modenas Z250 ABS 2022 dikuasakan enjin bersesaran 248cc (water-cooled, 4-stroke, parallel 2-cylinder, DOHC 4-valve) dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Enjin dua silinder yang bertenaga itu kemudiannya menghasilkan kuasa maksimum 37PS @ 12,500rpm, dengan keluaran tork maksimum 23Nm @ 10,000rpm.

Ciri-ciri menarik yang melengkapi Z250 ABS antaranya fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera dengan ABS, panel instrumen digital pelbagai fungsi dengan takometer, lampu depan dan belakang LED, tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 14 liter, ketinggian tempat duduk 795 mm dan berat hanya 165 kg.

Sama seperti Modenas Ninja 250, Modenas Z250 ABS kini dipasang secara CKD oleh Modenas, di kilang mereka yang terletak di Gurun, Kedah. Model naked itu didatangkan dengan tempoh jaminan selama 2 tahun atau 20,000 km, mana-mana yang tiba dahulu, dan akan berada di semua wakil pengedar sah Kawasaki mulai tarikh 01hb. Ogos 2022.