Modenas Ninja 250 2022 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas bermula dari RM 18,900.00

Kawasaki pada tarikh 28hb. Julai 2022 baru-baru ini secara rasminya telah kembali ke pasaran Malaysia, bermula dengan model Modenas Ninja 250 2022 (dalam versi tanpa ABS dan versi dengan ABS) dan Modenas Z250 ABS. Jika anda merasa keliru dengan penggunaan nama Modenas, cerita sebenarnya ialah model-model keluaran Kawasaki untuk pasaran tempatan pada ketika ini telah diedarkan secara eksklusif oleh EMOS.

Menurut Modenas, kesemua model-model Kawasaki dengan enjin di bawah 650cc kini akan dijenamakan semula menggunakan nama Modenas, khusus hanya untuk pasaran Malaysia. Berita baiknya ialah melalui strategi tersebut, harga yang ditawarkan menjadi lebih berpatutan dan mampu milik, seperti mana harga yang ditawarkan untuk Modenas Ninja 250 2022, Modenas Ninja 250 ABS 2022 dan juga Modenas Z250 ABS :

  • Modenas Ninja 250 2022 : RM18,900.00
  • Modenas Ninja 250 ABS 2022 : RM20,500.00
  • Modenas Z250 ABS 2022 : RM19,500.00

Kesemua harga yang dipaparkan itu ialah harga asas, tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan. Bagi model Ninja 250, pilihan warna tunggal yang tersedia ialah Metallic Carbon Gray, manakala Ninja 250 ABS boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu Metallic Matte Graphite Grey dan Metallic Carbon Gray. Spesifikasi untuk Ninja 250 dan Ninja 250 ABS adalah sama, kecuali Ninja 250 ABS dilengkapi sistem brek ABS.

Di bahagian enjin, Ninja 250 dan Ninja 250 ABS dikuasakan enjin 248cc (water-cooled, 4-stroke, parallel 2-cylinder, DOHC 4-valve) dengan transmisi enam kelajuan dan Assist & Slipper Clutch. Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin yang mematuhi piawaian emisi Euro 4 itu mencapai 37PS @ 12,500rpm, dengan keluaran tork setinggi 23Nm @ 10,000rpm. Tangki bahan apinya pula didatangkan dengan kapasiti maksimum 14 liter.

Modenas Ninja 250 memiliki berat 165 kg, sementara Modenas Ninja 250 ABS memiliki berat 167 kg. Kedua-dua model sporty itu turut dilengkapi lampu depan LED berkembar, lampu belakang LED, Economical Riding Indicator, tinggi tempat duduk 795 mm, ukuran tayar depan dan belakang 110/70-17 dan 140/70-17, dan jarak kelegaan tanah 145 mm. Diameter cakera brek depan ialah 286 mm dan 193 mm untuk brek cakera belakang.

Modenas Ninja 250 akan berada di semua wakil pengedar sah Kawasaki bermula 01hb. Ogos 2022, dan jaminan yang ditawarkan adalah selama 2 tahun atau 20,000 km jarak perjalanan, yang mana tiba dahulu. Jadi untuk peminat model Modenas Ninja 250 2022 di pasaran Malaysia, jangan risau kerana Modenas dan EMOS akan memastikan kualiti perkhidmatan selepas jualan dan alat ganti akan sentiasa berada pada tahap terbaik.

Galeri : 2022 Modenas Ninja 250 

Galeri : 2022 Modenas Ninja 250 ABS