Suzuki Hayabusa 2022 terima kemaskini warna baharu untuk pasaran Jepun, harga bersamaan RM 72,333.96

Di pasaran Malaysia, generasi baharu Suzuki Hayabusa 2021 telah dilancarkan secara rasmi pada bulan Oktober 2021, dengan harga asas RM 111,200.00. Tiga pilihan warna menarik yang ditawarkan ialah Glass Sparkle Black / Candy Burnt Gold, Pearl Brilliant White / Metallic Matte Stellar Blue dan Metallic Matt Sword Silver / Candy Daring Red.

Sementara itu di pasaran Jepun, Suzuki pada tarikh 01hb. Jun 2022 baru-baru ini rasmi memperkenalkan tiga pilihan warna baharu untuk Hayabusa 2022, Brilliant White / Pearl Bigger Blue, Glass Sparkle Black / Matte Black Metallic dan juga Thunder Gray Metallic / Candy Darling Red. Ianya akan berada di pasaran Jepun mulai tarikh 18hb. Jun 2022.

Di samping itu, Suzuki turut menawarkan tempahan khas untuk skim pilihan warna yang berlainan, dengan gabungan warna badan, warna aksen (warna tambahan pada badan) dan warna pada rim roda, menjadikannya kepada 18 pilihan kesemuanya. Dengan tiga pilihan warna standard, jumlah warna yang ditawarkan keseluruhannya ialah 21 warna.

Untuk pasaran domestik Jepun, Suzuki Hayabusa 2022 mempunyai tanda harga jualan sebanyak 2,156,000 Yen, bersamaan nilai RM 72,333.96 mengikut kadar semasa. Bagi model dengan tempahan warna khas, harga jualannya ialah 2,211,000 Yen, bersamaan RM 74,179.21. Spesifikasi teknikalnya pula tiada sebarang perubahan dan kekal sama.

Suzuki Hayabusa 2022 dilengkapi enjin bersesaran 1,339cc (4-stroke, 4-cylinder, liquid-cooled, DOHC) dengan transmisi enam kelajuan. Hamburan kuasa maksimumnya ialah 188PS @ 9,700rpm dengan tork maksimum 149Nm @ 7,000rpm. Dengan berat 264 kg, jentera hypersport tersebut dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum 299 km/j.