GPX Thailand pada dua hari yang lepas secara rasminya melancarkan model terbaharu GPX Legend250 Twin III 2022, dengan harga jualan sebanyak THB 86,500, bersamaan nilai RM 11,075.78 mengikut kadar semasa. Model bergaya klasik itu tampil dengan tiga pilihan warna yang cukup menarik iaitu White Everest, Green Forest dan Black Night.
GPX Legend250 Twin III dilengkapi enjin dalam kapasiti 234cc (2-cylinder, 4-stroke, 4-valve, SOHC) dengan sistem air cooled + oil-cooler, teknologi suntikan bahan api GPX-Fi (jenama Delphi daripada USA) dan transmisi enam kelajuan. Jumlah kuasa kudanya tidak dimaklumkan, namun keluaran tork enjin tersebut mencapai 15Nm @ 6,500rpm.
Selanjutnya, GPX Legend250 Twin III didatangkan dengan pelbagai spesifikasi menarik seperti handlebar bergaya klasik, panel meter digital LCD berbentuk bulat, sistem lampu depan dan lampu DRL (Daytime Running Light) LED, lampu belakang LED, fork depan upside-down dan suspensi belakang dengan subtank berjenama YSS yang berkualiti.
Pada bahagian brek depan, model itu dilengkapi dua cakera berkembar berukuran 276 mm dengan empat pot kaliper, disertai brek belakang tunggal dengan diameter 220 mm. Di bahagian roda, rim berjejari 17 inci yang kental dengan gaya klasik telah dipadankan dengan tayar depan yang bersaiz 110/90-R17 dan tayar belakang bersaiz 130/90-R17.
Sebagai sebuah motosikal dengan gaya klasik, GPX Legend250 Twin III turut dilengkapi tempat duduk dan sistem ekzos dengan rekaan klasik, pad perlindungan pada bahagian kiri dan kanan tangki petrol, dan kemasan logo emblem 3D premium pada tangki petrol itu yang hadir dengan kapasiti penuh 14.5 liter untuk jarak perjalanan yang lebih jauh.
Dari segi dimensi, ukuran lebar x panjang x tinggi GPX Legend250 Twin II 2020 ini ialah 785 x 2,040 x 1,120 mm, dengan jarak roda 1,340 mm. Tinggi tempat duduknya berada pada paras 790 mm sahaja, manakala jarak kelegaan bumi motosikal tersebut ialah 180 mm. Akhir sekali, berat GPX Legend250 Twin III 2022 ini hanyalah 156 kg (net weight).