Kawasaki Z400 2023 baru saja diperkenalkan di pasaran Eropah, dengan enjin bertaraf Euro 5. Enjin bersesaran 399cc (Liquid-cooled, 4-stroke, Parallel Twin, DOHC, 8 valves) itu dipadankan transmisi enam kelajuan dan sistem sistem Assist & Slipper Clutch, yang menghasilkan kuasa maksimum 45PS @ 10,000rpm dengan tork 37Nm @ 8,000rpm.
Selain daripada perubahan di bahagian enjin yang kini lebih bersih, perubahan lain ialah model naked berkenaan kini didatangkan pilihan warna terbaharu Pearl Robotic White / Metallic Matte Graphenesteel Gray, sementara pilihan warna dari musim 2020 yang lalu iaitu Candy Lime Green / Metallic Spark Black masih lagi dikekalkan untuk musim ini.
Kawasaki Z400 2023 merupakan sebuah model naked yang lincah dan berkuasa. Ianya dilengkapi dengan sepasang fork depan teleskopik dengan diameter 41 mm, manakala pada bahagian belakangnya ialah suspensi tunggal yang boleh dilaraskan (Bottom-Link Uni-Trak, gas-charged shock with adjustable preload). Sistem brek pula dilengkapi ABS.
Spesifikasi menarik lainnya termasuklah tangki bahan api 14 liter, paparan panel meter digital LCD yang kompak dengan pelbagai info, lampu depan LED yang terang, tempat duduk dengan ketinggian 785 mm, dan berat hanya 167 kg (curb mass). Untuk pasaran Malaysia, dijangkakan model ini akan kembali dilancarkan oleh EMOS tidak lama lagi.