Suzuki Raider R150 Fi 2022 jimat petrol, setangki penuh 4.0 liter mampu pergi sejauh 182 km

Sejak pelancarannya di pasaran Malaysia pada bulan Mac yang lepas, Suzuki Raider R150 Fi 2022 kini telah mendapat sambutan hangat daripada ramai peminat motosikal moped di negara kita. Antara sebabnya ialah kerana model berkenaan memiliki prestasi kelajuan yang sangat tinggi dan tidak mampu disaingi oleh model-model moped lain.

Namun begitu masih ramai juga peminat Suzuki Raider R150 Fi yang masih keberatan untuk membelinya, kerana berasakan tangki bahan api maksimum 4.0 liter pada model tersebut agak kecil. Mereka bimbang nanti terpaksa singgah ke stesen minyak dengan kerap untuk mengisi petrol, dan untuk perjalanan jauh dirasakan agak kurang praktikal.

Namun Suzuki Raider R150 Fi yang dilengkapi enjin dengan sistem suntikan bahan api yang cekap ini sebenarnya masih mampu menawarkan jarak perjalanan yang lebih jauh sehingga 182 km, dengan hanya menggunakan setangki penuh petrol. Menurut sumber dari Suzuki Thailand, setiap liter petrol mampu menawarkan perjalanan sejauh 45.5 km.

Oleh itu jika faktor saiz tangki bahan api menjadi sebab kenapa masih ramai yang agak keberatan untuk membelinya, nampaknya alasan tersebut kurang relevan. Kemampuan untuk ditunggang sehingga jarak perjalanan mencapai 182 km sebenarnya sudah cukup memuaskan, apatah lagi jika hanya sekadar untuk kegunaan dalam jarak yang dekat.