Skuter Honda Lead 125 mula diperkenalkan di pasaran Thailand pada awal tahun 2021 yang lepas. Kini Honda Lead 125 2022 baru saja dilancarkan, tampil dengan gaya serta rekaan terbaharu yang lebih menawan dan elegan. Tiga pilihan warna ditawarkan untuk model tersebut iaitu Putih, Merah dan Biru, dengan harga THB 58,500 (RM 7,439.60).
Sama seperti model yang telah dilancarkan untuk pasaran Jepun pada Mac 2022 yang lalu, Honda Lead 125 2022 untuk pasaran Thailand ini turut dilengkapi enjin terbaharu eSP+ dengan teknologi 4-valve dan Idling Stop System yang lebih berprestasi dan lebih ekonomi. Tahap penggunaan bahan apinya dikatakan berada pada paras 52.6 km/liter.
Honda Lead 125 2022 seterusnya dilengkapi tangki bahan api 6.0 liter, di samping ciri-ciri menarik lagi praktikal seperti Honda Smart Key, ruang kompatmen depan yang luas dengan tinggi 12 cm dan tersedia soket pengecas USB jenis Type-C, dan ruang bagasi di bawah tempat duduk seluas 37 liter yang mampu memuatkan dua buah topi keledar.
Melengkapkan lagi ciri-ciri menariknya ialah lampu depan LED, lampu posisi LED, brek cakera depan dan brek dram belakang jenis Combi-Brake System, paparan panel meter semi digital yang jelas dan mudah dibaca, fork depan teleskopik dan suspensi belakang tunggal, sepasang tayar 90/90-R12 dan 100/90-R10, dan tinggi tempat duduk 760 mm.