Honda Lead 125 2022 di pasaran Jepun, kini dilengkapi enjin baharu eSP+ 4-valve yang lebih berprestasi dan ekonomi

Bermula tarikh 24hb. Mac 2022 yang lalu, skuter Honda Lead 125 2022 rasmi berada di pasaran Jepun. Harga jualannya ialah 324,500 Yen (RM 10,915.52) untuk pilihan warna Pearl Dark Ash Blue 2, Poseidon Black Metallic dan Pearl Jasmine White. Untuk pilihan warna Matt Techno Silver Metallic pula, ianya berharga 330,000 Yen (RM11,100.53). 

Selain daripada pilihan warna terbaharu yang lebih menarik, Honda Lead 125 2022 kini telah dilengkapi enjin eSP+ baharu dengan teknologi 4-valve yang lebih berprestasi dan lebih ekonomi. Enjin berkapasiti 124cc (water-cooled, 4-stroke, OHC, single cylinder) itu dipadankan transmisi V-Matic, dengan kuasa maksimum 11PS @ 8,750rpm dan jumlah tork 12Nm @ 5,250rpm. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 6 liter.

Menurut Honda dengan hanya setangki penuh, Honda Lead 125 2022 kini mampu pergi sejauh 315 km, atau bersamaan 52.5 km/l berdasarkan purata kelajuan 60 km/j. Sistem Idling Stop pada model tersebut juga dikekalkan untuk musim ini, yang selama ini ianya menyumbang untuk prestasi alam sekitar yang lebih baik dan bunyi yang lebih senyap.

Pada masa yang sama, Honda Lead 125 2022 turut didatangkan dengan banyak ciri-ciri yang menarik dan praktikal, seperti Honda Smart Key, soket pengecas USB jenis Type-C, inner box di bahagian depan, ruangan bagasi 37 liter di bawah tempat duduk, lampu depan LED dan lampu posisi LED, brek cakera depan dan brek dram belakang dengan ciri Combi-Brake System, dan panel meter semi digital yang jelas dan mudah dibaca.

Di bahagian suspensi, skuter berkenaan dilengkapi fork depan teleskopik dan penyerap hentak belakang tunggal. Tayar depan dan belakangnya masing-masing bersaiz 90/90-R12 dan 100/90-R10, sementara ketinggian tempat duduk berada pada paras 760 mm. Untuk pasaran Malaysia, buat masa ini belum ada maklumat mengenai kehadirannya.