Pada awal bulan Mac 2022, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) secara rasminya telah melancarkan model moped terbaharu Yamaha 135LC Fi 2022 untuk pasaran Malaysia. Sewaktu pelancarannya, model berkenaan dikatakan eksklusif untuk pasaran Malaysia sahaja, bermakna ianya tidak akan dijual di mana-mana pasaran ASEAN yang lain.
Namun untuk pasaran Vietnam, situasinya mungkin berbeza. Ini kerana pengedar dan penjual motosikal di pasaran negara Nguyen itu kebiasaannya akan mengimport masuk mana-mana model motosikal popular, yang tidak ditawarkan secara rasmi. Oleh itu tidak mengejutkan sekiranya Yamaha 135LC Fi ini akhirnya masuk juga ke pasaran Vietnam.
Menurut sumber dari Vietnam, setakat ini satu unit Yamaha 135LC Fi 2022 telah dibawa masuk ke pasaran Vietnam, oleh salah sebuah kedai motosikal yang terletak di bandar Ho Chi Minh City. Tidak dapat dipastikan bagaimana ianya dibawa masuk ke sana, atau adakah model tersebut dibeli dari pengedar di Malaysia, kemudiannya di pos ke sana.
Sama seperti di pasaran Malaysia, peminat motosikal di pasaran Vietnam juga ketika ini masih menggilai model-model moped. Ini berbeza dengan pasaran Indonesia, Thailand dan Filipina yang telah beralih minat kepada model-model skuter. Pada pendapat anda, adakah benar Yamaha 135LC Fi 2022 ini telah dibawa masuk ke pasaran Vietnam?
Sumber : doisongphapluat.nguoiduatin.vn