Skuter adventure terbaharu SYM Husky ADV 150 2022 yang sebelum ini diperkenalkan buat pertama kali di EICMA 2021, kini rasmi dilancarkan di pasaran China baru-baru ini. Didatangkan dalam dua pilihan warna disertai beberapa komponen aksesori keemasan, harga jualannya di pasaran China ialah CNY 23,800, bersamaan nilai RM 15,755.31.
SYM Husky ADV 150 dilengkapi sistem lampu LED sepenuhnya, panel instrumen digital TFT yang terang dan jelas, suspensi belakang monoshock, tangki petrol 15.2 liter, port pengecasan Quick Charge 3.0, serta sistem gantungan enjin A.L.E.H (Anti-Lift Engine Hanger System) yang meningkatkan kestabilan tunggangan semasa memulas pendikit.
Selain itu ianya juga dilengkapi fork depan teleskopik, brek cakera depan dan belakang masing-masing dalam diameter 260 mm dan 233 mm dengan sistem ABS dua saluran, TCS (Traction Control), tayar dual purpose dalam siri 120/70-R13 (depan) dan 130/70-R13 (belakang), tempat duduk dengan ketinggian 780 mm, dan skrin penghadang angin yang boleh dilaraskan. Beratnya ialah 150 kg, dengan kelajuan maksimum 107 km/j.
Di bahagian enjin, ianya bersesaran 150cc (1-cylinder, liquid-cooled, 4-stroke, SOHC, 4-valve) dengan padanan teknologi sistem EFI dan transmisi automatik CVT. Kuasa yang dihasilkan oleh enjin tersebut mencapai 10.8kW (14.48hp) @ 7,500rpm, dengan janaan tork maksimum 14.5Nm @ 6,000rpm. Jumlah kuasa tersebut pastinya sudah memadai.
Untuk pasaran Malaysia, setakat ini belum dapat dipastikan sama ada SYM Malaysia @ MForce Bike bakal melancarkan model skuter bertaraf adventure ini. Seandainya model ini dilancarkan nanti, sudah pasti ianya akan memberikan saingan kepada model-model seperti Honda ADV150, WMoto Xtreme 150i, dan mungkin juga model Aveta ADV150.