PT Astra Honda Motor (AHM) baru-baru ini telah memperkenalkan Honda Supra X 125 FI 2022, yang kini tampil dengan skim warna baharu. Untuk pasaran Indonesia, model tersebut didatangkan dalam pilihan warna Golden Matte Black dan Energetic Red untuk varian CW (Cast Wheel), dan warna Quantum Black untuk varian SW (Spoke Wheel).
Selain itu, Honda Supra X 125 FI 2022 ini juga turut dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri yang menarik dan praktikal. Antaranya ialah seperti ‘Dual Keen Winker & Position Light’, ‘Sharp LED Tail Light’, ‘Modern Panel Meter’, ‘Functional Hook’, ‘7 Liter Utility Box with Innovative Power Charger’, dan ‘Sporty Front & Rear Disc Brake’ (varian CW sahaja).
Honda Supra X 125 FI dikuasakan enjin empat lejang dalam sesaran 124.89cc (SOHC, air-cooled, PGM-FI), dan dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan rotary. Jumlah kuasa yang dihasilkan oleh enjin tersebut mencapai 10.1PS @ 8,000rpm, dengan tork 9.3Nm @ 4,000rpm. Kapasiti maksimum tangki bahan api model tersebut ialah 4.0 liter.
Model tersebut menggunakan tayar depan dan belakang masing-masing dalam ukuran 70/90-17 dan 80/90-17. Suspensi depannya merupakan fork teleskopik, dan di belakang ialah suspensi berkembar. Harga jualan yang ditetapkan ialah sebanyak Rp. 19,635,000 (RM 5,761.87) untuk varian CW, dan Rp. 18,555,000 (RM 5,444.95) untuk varian SW.