Suzuki Belang R150 mungkin akan dilancarkan dengan nama baharu Suzuki Raider R150Fi

Suzuki Malaysia bakal melancarkan tiga model terbaharu keluarannya untuk pasaran tempatan tidak lama lagi, iaitu Suzuki GSX-R150, Suzuki GSX-S150 dan Suzuki Belang R150. Setakat ini syarikat itu telah melakukan tinjauan secara online bagi mendapatkan maklumbalas mengenai ketiga-tiga model tersebut daripada bakal pelanggannya.

Melalui paparan di dalam borang tinjauan tersebut, didapati nama Suzuki Belang R150 telah digantikan dengan nama baharu Suzuki Raider R150Fi. Jadi adakah ini bermakna nama ikonik Suzuki Belang R150 akan ditukar kepada nama baharu iaitu Suzuki Raider R150Fi, sama seperti di pasaran negara jiran Thailand, Vietnam dan juga Filipina?

Jika benar nama baru model moped tersebut nanti adalah Suzuki Raider R150Fi, ianya mungkin melambangkan kebangkitan semula setelah beberapa tahun menghilang, yang bakal memberikan saingan sengit kepada model-model moped lain seperti Honda RS-X, Yamaha Y15ZR, Yamaha Y16ZR, Benelli R18i, dan termasuklah SYM VF3i 185.

Di pasaran Indonesia, Suzuki Belang R150 dikenali dengan nama Suzuki Satria F150, namun nama itu tidak sesuai digunakan di pasaran Malaysia kerana ianya hampir sama dengan nama kereta hatchback nasional Proton Satria. Jika benar, nama Suzuki Raider R150Fi 2022 bakal menjadi nama popular di pasaran Malaysia dalam masa terdekat.