Boon Siew Honda pada kelmarin secara rasminya melancarkan model sport terbaharu Honda CBR500R 2022 untuk pasaran Malaysia. Pilihan warna tunggal yang ditawarkan ialah Grand Prix Red, dengan harga asas RM 34,499.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan) dan tempoh jaminan selama 2 tahun atau sehingga 20,000 km.
Berbanding model sebelumnya, Honda CBR500R 2022 di pasaran Malaysia kini telah menerima beberapa naik taraf terbaharu, sama seperti di pasaran Eropah. Antaranya ialah enjin bertaraf Euro 5, fork depan jenis terbalik Showa Separate Function Fork Big Piston (SFF-BP) 41 mm, lengan ayun baharu yang lebih ringan dengan ciri ‘lateral flex’ yang lebih tinggi, dan suspensi belakang monoshock yang ditala semula prestasinya.
Selain itu, model tersebut kini dilengkapi rim roda yang direka semula dan radiator yang lebih ringan, serta talaan semula sistem suntikan bahan apinya bagi meningkatkan lagi perwatakan enjin. Paling mengujakan ialah brek depan kini didatangkan dengan cakera jenis berkembar 296 mm dengan kaliper radial-mount dua piston yang lebih berprestasi. Lebih dari itu ialah prestasi cengkaman tayar depan juga kini dikatakan lebih mantap.
Peningkatan seterusnya untuk Honda CBR500R 2022 ialah lampu depan LED kini hadir lebih berkuasa dan menawarkan penglihatan yang lebih jelas, untuk tahap keselamatan yang lebih baik pada setiap masa. Enjinnya bersesaran 471cc (liquid-cooled, 4-stroke, parallel twin, PGM-FI) dengan kuasa maksimum 49.6hp @ 8,500rpm dan tork 45Nm @ 6,500rpm. Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch, manakala tangki bahan apinya memiliki kapasiti maksimum 17.1 liter.
Ciri-ciri lain yang melengkapi Honda CBR500R 2022 ini termasuklah panel meter digital LCD yang moden, sistem lampu LED, sistem brek ABS dual-channel, tinggi pelana 785 mm, saiz tayar 120/70-17 (depan) dan 160/60-17 (belakang), sistem lampu Emergency Stop Signal, jarak kelegaan tanah 130 mm, dan beratnya hanya 192 kg (curb weight).