Berapakah kelajuan maksimum yang berjaya dicatatkan oleh model moped WMoto F15 2022?

Model moped terbaharu WMoto F15 2022 dilancarkan di pasaran tempatan pada bulan Disember 2021 yang lepas, dengan harga jualan asasnya yang sangat berpatutan iaitu sebanyak RM 5,999.00 sahaja. Enjinnya pula bersesaran 149.2cc (silinder tunggal, dua injap, SOHC, sejukan udara) dan digandingkan dengan sistem transmisi lima kelajuan.

WMoto F15 mampu menghasilkan kuasa maksimum 10.5hp @ 7,000rpm, dengan tork maksimum 11Nm @ 5,500rpm. Dengan jumlah kuasa dan tork yang bertaraf sederhana seperti itu, ramai peminat motosikal tempatan yang tertanya-tanya berapakah kelajuan maksimum sebenar yang akan berjaya dicapai oleh moped yang bergaya sporty itu?

Berdasarkan ujian kelajuan yang dilakukan YouTuber Nik Rahizal, WMoto F15 mampu mencatatkan kelajuan yang boleh dikatakan agak memuaskan, iaitu sehingga 120 km/j. Kelajuan tersebut adalah dicatatkan melalui paparan pada panel meter model tersebut, manakala berdasarkan sistem GPS, kelajuan maksimum yang sebenar ialah 106 km/j.

Bagaimanapun mungkin untuk sesetengah peminat, kelajuan GPS maksimum 106 km/j itu adalah terlalu perlahan, dan tidak mampu mengejar model-model lain yang biasanya mencatatkan kelajuan maksimum GPS sekitar 125 km/j sehingga 145 km/j. Jadi adakah anda merasakan kelajuan maksimum itu sudah mencukupi atau perlu ditingkatkan lagi?