MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. sememangnya sangat dikenali dalam dunia motosikal tanah air, apabila syarikat tersebut merupakan pengedar eksklusif untuk beberapa buah jenama pengeluar motosikal dan skuter. Antaranya termasuklah Benelli, SYM, WMoto, SM Sport, Brixton Motorcycles, Keeway, Niu, dan juga jenama terbaharu QJ Motor.
Terkini, MForce pada beberapa hari yang lepas secara rasminya telah mengumumkan bahawa syarikat tersebut kini dilantik sebagai pengedar eksklusif motosikal berjenama Moto Morini di Malaysia. Untuk makluman, Moto Morini ialah sebuah jenama pengeluar motosikal dari Itali yang dibangunkan oleh Alfonso Morini di Bologna, pada tahun 1937.
Berikut ialah sebahagian petikan daripada siaran akhbar yang diterbitkan oleh MForce mengenai sejarah awal Moto Morini, sehinggalah perkembangannya ke saat ini :
Pada tahun 1946, Moto Morini mula menghasilkan enjin silinder tunggal, dua-lejang dengan trasmisi tiga kelajuan pada model T125. Tahun demi tahun, Moto Morini sentiasa fokus dari segi pembangunan dan penambahbaikan sehingga mereka berjaya menghasilkan enjin dari dua-lejang kepada empat-lejang iaitu Corsaro Gran Turismo.
Moto Morini juga telah memenangi beberapa kejuaraan Itali dari tahun 1951 sehingga 1967 dan juga Grand Prix. Sehingga kini, Moto Morini masih lagi diiktiraf sebagai salah satu daripada 10 jenama terbaik Eropah. Dengan mempunyai pengedar hampir di seluruh dunia, Moto Morini menjadi jenama yang menjadi pilihan utama peminat motosikal.
Pada masa ini, barisan Moto Morini terdiri daripada kategori berkuasa tinggi, iaitu Corsaro ZT, Corsaro ZZ, Milano, dan Super Scrambler di mana semuanya menggunakan enjin 1,200cc V-twin yang besar. Moto Morini juga telah melancarkan motosikal “middleweight adventure” iaitu X-Cape 650 pada bulan November tahun lepas. Sememangnya ia akan memberikan pelbagai pilihan kepada peminat-peminat motosikal di Malaysia.
Untuk pasaran Malaysia, MForce bakal melancarkan sebuah model terbaharu keluaran Moto Morini iaitu X-Cape 650, yang dilengkapi enjin dalam sesaran 649cc (DOHC, twin-cylinders, 8 valves) dan bertaraf Euro 5. Tarikh pelancarannya buat masa ini ditetapkan dalam suku kedua tahun ini, dengan harga jualan asas yang tentunya akan berpatutan.
Sebelum memasuki pasaran tempatan, model terbaharu keluaran Moto Morini ini akan melalui ujian ketahanan terlebih dahulu, untuk memastikan kualiti keseluruhan model itu berada dalam keadaan yang terbaik. Untuk peminat motosikal adventure yang mahukan cabaran di jalanan yang serba mencabar, X-Cape 650 ini pastinya sangat bersesuaian.
Menurut Ketua Pegawai Operasi MForce, Asri Ahmad, pelantikan sebagai pengedar sah eksklusif Moto Morini ini secara tidak langsung telah meningkatkan kedudukan MForce sebagai antara pengedar motosikal terkemuka di Malaysia. Pada tahun 2021, prestasi jualan syarikat itu dikatakan meningkat sebanyak 25% berbanding tahun 2020. Dengan perkembangan terbaharu ini, MForce akan terus meningkatkan lagi kualiti produk serta perkhidmatan selepas jualan, bagi memastikan tahap kepuasan pelanggan tertinggi.