Honda Motor Europe pada beberapa hari yang lepas secara rasminya memperkenalkan model Neo Sports Cafe terbaharu Honda CB300R 2022 untuk pasaran Eropah. Model tersebut kini menyertai barisan model Neo Sports Cafe yang lain yang ditawarkan untuk pasaran Eropah, iaitu model Honda CB1000R, Honda CB650R dan Honda CB125R.
Honda CB300R 2022 dilengkapi enjin berkapasiti 286cc (liquid-cooled, 4-valve, DOHC, single-cylinder) bertaraf Euro 5, dipadankan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Enjin itu menawarkan kuasa maksimum 30.7hp @ 9,000rpm, dengan tork 27.5Nm @ 7,750rpm. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti maksimum 10 liter.
Di bahagian suspensi, ianya dilengkapi fork depan jenis upside-down Showa Separate Function front Fork Big Piston (SFF-BP) 41 mm, untuk prestasi tunggangan yang lebih baik dan pengambilan selekoh yang lebih agresif. Suspensi belakang merupakan jenis monoshock dengan pelarasan prabeban lima tahap (5-step spring preload adjustment).
Sistem brek cakera Honda CB300R di bahagian depan didatangkan dalam saiz 296 mm (hubless floating disc with radial-mount Nissin 4-piston caliper), sementara di bahagian belakangnya ialah cakera 220 mm dengan kaliper piston tunggal. Sistem brek tersebut lengkap dengan ABS dual-channel yang dikawal oleh IMU (Inertial Measurement Unit).
Melengkapkan lagi spesifikasi Honda CB300R ini ialah paparan panel meter LCD, yang turut memaparkan posisi gear. Sistem lampu kesemuanya LED, termasuk lampu signal. Tayar depan dan belakang jenis radial tampil dalam ukuran 110/70-R17 dan 150/60-R17 masing-masing. Tinggi tempat duduk 799 mm, manakala berat keseluruhannya 144 kg.
Untuk pasaran Eropah, Honda CB300R 2022 hadir dalam empat pilihan warna menarik seperti Mat Gunpowder Black Metallic, Mat Pearl Agile Blue, Pearl Dusk Yellow dan juga Candy Chromosphere Red. Untuk pasaran Malaysia, Boon Siew Honda ketika ini masih lagi menawarkan model Honda CB250R, dengan harga jualan asasnya RM 23,499.00.