FKM Venture 150 Limited Edition 2022 diumumkan di pasaran Filipina, edisi terhad 30 unit

Model skuter adventure terbaharu FKM Venture 150 2021 telah dilancarkan di pasaran Filipina pada bulan September yang lepas. Kini model tersebut didatangkan dalam versi edisi terhad hanya 30 unit, dengan tiga pilihan warna menarik dan eksklusif iaitu Canary Yellow, Winter White dan Fire Red. Namun harga jualannya tidak pula diumumkan.

FKM Venture 150 di pasaran Filipina ini asalnya merupakan model Dayang ADV150 di pasaran China. Ianya juga dikatakan bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi, dan akan dikenali dengan nama Aveta ADV150. Setakat ini tarikh pelancaran yang disebut-sebut untuk pasaran Malaysia ialah pada suku pertama atau kedua tahun ini.

Untuk pasaran Filipina, FKM Venture 150 didapati tidak dilengkapi sistem kamera pada bahagian depan dan belakangnya. Sebabnya mungkin untuk mengurangkan harganya di pasaran negara tersebut. Untuk pasaran Malaysia nanti, diharapkan spesifikasi yang ditawarkan akan serba lengkap, termasuklah sistem kamera depan dan belakangnya.

Di bahagian enjin, FKM Venture 150 ini dilengkapi enjin dalam sesaran 150cc (4-stroke, liquid-cooled, SOHC, 4-valve) dengan kuasa 16.45PS @ 8,500rpm dan tork 14.6Nm @ 6,500rpm, serta dipadankan dengan sistem transmisi CVT. Untuk perjalanan yang lebih jauh, tangki bahan apinya didatangkan dengan kapasiti maksimum sehingga 9.3 liter.

Model tersebut turut mempunyai sistem kunci Electronic Keyless System, sistem lampu LED sepenuhnya, paparan panel meter digital LCD yang terang bersaiz besar 7 inci dan terbina dalam dengan Hazard Switch, soket pengecas USB, ruang simpanan barangan yang luas di bawah tempat duduk, dan sistem brek cakera dengan ABS dua saluran.