Benelli RFS150i tidak lagi ditawarkan di pasaran Vietnam, adakah ianya bakal digantikan dengan Benelli R18i?

Untuk pasaran Vietnam, Benelli turut menawarkan model moped Benelli RFS150i sejak tahun 2019 yang lalu. Kemudiannya menurut sumber dari Vietnam tidak beberapa lama sebelum ini, tinggal hanya unit terakhir yang ditawarkan untuk pasaran negara tersebut. Kini melihat ke dalam laman sesawang Benelli Vietnam, paparan model itu telah tiada.

Besar kemungkinan jualan Benelli RFS150i di pasaran Vietnam telah ditamatkan secara rasmi bermula tahun 2022 ini, dan adakah ianya bakal digantikan dengan model baharu Benelli R18i? Model moped Benelli R18i sebelum ini pertama kalinya telah dilancarkan di pasaran Malaysia, dengan kapasiti enjin 174cc dan sistem transmisi enam kelajuan.

Antara sebab kenapa Benelli R18i dijangka bakal dilancarkan di pasaran Vietnam ialah kerana kapasiti enjinnya yang hanya 174cc adalah bersesuaian dengan kelas lesen A1 di pasaran Vietnam. Kelas lesen itu hanya melayakkan pemiliknya untuk menunggang motosikal yang mempunyai enjin dalam sesaran di antara 50cc sehingga 175cc sahaja.

Bagi kelas lesen A2 pula, ianya adalah untuk motosikal dengan kapasiti enjin 175cc dan ke atas. Situasinya adalah sama dengan kelas lesen B2 dan B Full di pasaran Malaysia. Setakat ini Benelli Vietnam masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi atau memberikan sebarang petunjuk mengenai kehadiran Benelli R18i ke pasaran Vietnam.

Jika benar Benelli R18i akan dilancarkan di pasaran Vietnam nanti, adakah ianya akan diterima dengan baik oleh peminat motosikal moped di sana? Sama seperti di pasaran Malaysia, para peminat motosikal di pasaran Vietnam juga lebih menggilai model-model keluaran Yamaha dan Honda. Apa pun kita tunggu dan lihat perkembangannya nanti.