Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) kini rasmi mengumumkan harga jualan asas untuk Yamaha Tracer 9 GT 2021, iaitu sebanyak RM 69,498.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Untuk pasaran Malaysia, model touring tersebut boleh didapati dalam dua pilihan warna menarik iaitu Icon Performance dan Redline.
Merupakan antara model terbaharu yang ditunggu-tunggu kemasukannya ke pasaran Malaysia, Yamaha Tracer 9 GT 2021 dikuasakan enjin berkapasiti 889cc (liquid-cooled, 4-stroke, 4-valves, 3-cylinder, DOHC) yang bertaraf Euro 5. Enjin itu dipadankan sistem transmisi enam kelajuan, Assist & Slipper Clutch dan juga Quick Shift System (QSS).
Enjin berprestasi tinggi itu menjana kuasa maksimum 119PS @ 10,000rpm dengan tork setinggi 93Nm @ 7,000rpm. Yamaha Tracer 9 GT seterusnya dilengkapi tangki bahan api 18 liter untuk jarak perjalanan yang lebih jauh sehingga 350 km+. Ketinggian tempat duduk berada pada paras 810 mm – 825 mm, manakala berat basahnya ialah 220 kg.
Spesifikasi lengkap lain antaranya ialah unit IMU 6-axis, Traction Control System (TCS), Slide Control System (SCS), LIFt Control System (LIF), Brake Control (BC), fork depan jenis terbalik 41 mm KYB boleh laras sepenuhnya, suspensi belakang KYB boleh laras, sistem brek cakera dengan ABS, panel meter TFT 3.5 inci dan lampu LED sepenuhnya.
Di bahagian roda, Yamaha Tracer 9 GT dibekalkan sepasang tayar ‘tubeless’ dalam siri 120/70-ZR17 (depan) dan 180/55-ZR17 (belakang). Sebagai sebuah model touring atau kembara sebenar, ianya turut dilengkapi sistem kawalan pelayaran atau ‘cruise control’, untuk aktiviti tunggangan jarak jauh yang lebih selesa, praktikal dan menyeronokkan.