Honda Motor Europe pada kelmarin dengan rasminya memperkenalkan sebuah model skuter adventure terbaharu iaitu Honda ADV350 2022. Model berkenaan kini menyertai barisan dua model skuter adventure terdahulu Honda X-ADV dan Honda ADV150, dan secara tidak langsung memeriahkan lagi segmen skuter kembara yang kian popular itu.
Tampil dengan gaya sporty dan moden, Honda ADV350 dikuasakan enjin bersesaran 330cc (Liquid-cooled 4-stroke, 4 valve SOHC single) dengan padanan sistem transmisi automatik CVT. Enjin yang patuh piawaian emisi Euro 5 itu menawarkan keluaran kuasa maksimum 28.83hp @ 7,500rpm, dengan janaan tork maksimum 31.5Nm @ 5,250rpm.
Dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti 11.7 liter, tahap kecekapan ekonomi model tersebut menjangkau sehingga 30 km/l (WMTC mode), dengan potensi jarak perjalanan sejauh 340 km+ untuk setangki penuh petrol. Untuk tunggangan yang lebih stabil, enjin Honda ADV350 turut didatangkan teknologi Honda Selectable Torque Control (HSTC).
Honda ADV350 seterusnya dilengkapi fork depan jenis terbalik 37mm, manakala pada bahagian belakangnya ialah sistem suspensi berkembar (remote reservoir rear shocks). Brek cakera depan tunggal 256 mm (2 piston Nissin caliper) digandingkan dengan brek cakera belakang 240 mm (1 piston Nissin caliper), lengkap dengan ABS dual-channel.
Honda ADV350 mempunyai tempat duduk dengan ketinggian 795 mm, jarak kelegaan bumi 145 mm, dan berat 186 kg (kerb weight). Model tersebut berdiri di atas roda depan dan belakang yang masing-masing mempunyai ukuran 120/70-R15 dan 140/70-R14. Di samping itu, pelbagai ciri-ciri menarik lain turut tersedia untuk skuter versi adventure itu.
Antaranya termasuklah sistem lampu LED, panel meter digital LCD sepenuhnya dengan sistem sambungan Honda Smartphone Voice Control, skrin penghadang angin dengan dua tahap pelarasan, sistem Smart Key, soket pengecas USB Type-C, sistem brek ESS (Emergency Stop Signal), dan ruang barangan seluas 48 liter di bawah tempat duduk.
Untuk pasaran Eropah, Honda ADV350 2022 ini boleh didapati dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Spangle Silver Metallic, Mat Carnelian Red Metallic dan Mat Carbonium Gray Metallic. Pilihan aksesori asli yang ditawarkan ialah ’50-litre Smart top box’, ‘Rear carrier rack (direct fitment)’, ‘Inner bags’, ‘Heated grips’, ‘U Lock’ dan ‘Outdoor cover’.
Untuk pasaran ASEAN termasuklah Malaysia, mungkin pada masa akan datang Honda bakal menawarkan Honda ADV350 dalam versi 250cc, dan akan dikenali dengan nama Honda ADV250. Ketika ini di pasaran tempatan, Boon Siew Honda menawarkan model skuter Honda Forza 250 2021, dengan harga jualan asas sebanyak RM 25,388.00.