Yamaha Ego Gear 2021 dilancarkan untuk pasaran Malaysia, harga asas RM 5,419.00

Khusus untuk peminat model skuter, Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) pada hari ini dengan rasminya melancarkan Yamaha Ego Gear 2021 terbaharu. Model tersebut didatangkan dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Perak, Merah dan Biru, dengan harga jualan asas hanya RM 5,419.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Yamaha Ego Gear dikuasakan enjin bersesaran 125cc (silinder tunggal, 4-lejang, SOHC, suntikan bahan api) yang dipadankan dengan sistem transmisi automatik. Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkannya mencapai 9.4hp @ 8,000rpm, dengan tork puncak 9.6Nm @ 5,500rpm. Model skuter itu kemudiannya dilengkapi kapasiti tangki bahan api 4.2 liter.

Di bahagian suspensi, Yamaha Ego Gear dilengkapi fork depan teleskopik dan penyerap hentak belakang jenis tunggal di sebelah kiri. Untuk pemberhentian yang selamat, model skuter itu dilengkapi sistem brek cakera di bahagian hadapan dan brek jenis gelendong di bahagian belakang. Tinggi tempat duduknya hanya 750 mm, dengan berat basah 95 kg.

Ciri-ciri istimewanya termasuklah lampu depan LED dan lampu Pilot, lampu hazard, enjin BlueCore dengan SMG (Smart Motor Generator), sistem Start & Stop, panel meter serba moden, soket pengecas USB, papan lantai anti-slip yang lebar, tempat letak kaki mesra kanak-kanak, dan tayar tanpa tiub dalam siri 80/80-14 (depan) dan 100/70-14 (belakang).

Bagi setiap pembelian Yamaha Ego Gear 2021, pelanggan akan menerima kunci cakera Yamaha bernilai RM 100.00 secara percuma. Untuk ketenangan fikiran, tempoh jaminan yang ditawarkan adalah selama 2 tahun atau 20,000 km jarak perbatuan. Menurut HLYM, model tersebut akan tiba di bilik pameran pengedar sah mulai pertengahan November ini.