Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) kini secara rasminya telah mengumumkan harga jualan asas untuk model Yamaha MT-09 2021, iaitu sebanyak RM 54,998.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Model tersebut sebelum ini diperkenalkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia pada pertengahan bulan Oktober 2021 yang lepas.
Didatangkan dalam dua pilihan warna menarik Storm Fluo dan Icon Blue, Yamaha MT-09 2021 dilengkapi enjin 889cc (liquid-cooled, 4-stroke, 4-valves, 3-cylinder, DOHC) bertaraf Euro 5. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan, Assist & Slipper Clutch dan Quick Shift System (QSS) untuk operasi gear yang lebih lancar dan pantas.
Enjin berprestasi tinggi itu seterusnya menjana kuasa maksimum 119PS @ 10,000rpm dengan tork puncak 93Nm @ 7,000rpm. Yamaha MT-09 2021 dilengkapi tangki bahan api 14 liter, ketinggian tempat duduk 825 mm, tayar depan dan belakang bersaiz 120/70-ZR17 dan 180/55-ZR17 masing-masing, dan berat keseluruhannya hanya 189 kg (wet weight).
Spesifikasi serba lengkap yang lain termasuklah unit IMU 6-axis, Traction Control System (TCS), Slide Control System (SCS), LIFt Control System (LIF), Brake Control (BC), fork depan terbalik 41 mm KYB boleh laras sepenuhnya, suspensi belakang KYB boleh laras, sistem brek cakera dengan ABS, panel meter TFT 3.5 inci dan lampu LED sepenuhnya.