Suzuki Gixxer SF 250 2021 kini di pasaran Indonesia, harga jualan bersamaan hanya RM 14,429.19

PT Suzuki Indomobil Sales (SIS) baru-baru ini rasmi melancarkan model terbaharu Suzuki Gixxer SF 250 2021 untuk pasaran Indonesia. Boleh didapati dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Blue Silver, Matt Black dan Blue, harga jualan untuk model tersebut ditetapkan sebanyak Rp 49,300,000, bersamaan nilai RM 14,429.19 (kadar semasa).

Suzuki Gixxer SF 250 dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri menarik dan teknologi terkini, antaranya seperti lampu depan dan belakang LED, sistem penghidup enjin Easy-Start-System yang memudahkan, panel instrumen digital yang berinformasi dan sporty, Split Seat yang selesa, dan Clip-on Handle Bar untuk posisi tunggangan lebih ergonomik.

Enjin 249cc (1-cylinder, SOHC) pada Suzuki Gixxer SF 250 dengan Fuel Injection dan sistem transmisi enam kelajuan menghasilkan kuasa maksimum sehingga 26.5PS @ 9,000rpm, dengan tork maksimum mencecah 22.6Nm @ 7,500rpm. Enjin berprestasi itu turut dilengkapi dengan teknologi penyejukan Suzuki Oil Cooling System (SOCS).

Dari segi pengendalian dan kestabilan, Suzuki Gixxer SF 250 dibekalkan ukuran tayar yang lebar, casis yang ringan dan sistem suspensi yang mantap. Ditambah lagi dengan brek cakera depan berdiameter 300 mm dengan Anti-Lock Brake System (ABS) dual channel, ianya memastikan proses pemberhentian menjadi lebih baik dan selamat.

Selain pasaran Indonesia, Suzuki Gixxer SF 250 2021 sebelum ini turut dilancarkan di pasaran Filipina, Thailand, Jepun dan Vietnam. Untuk pasaran Malaysia, setakat ini Suzuki Malaysia telah mengesahkan bakal melancarkan tiga model terbaharu dalam kelas 150cc iaitu Suzuki Belang R150, GSX-S150 dan GSX-R150 tidak lama lagi.