Suzuki Gixxer SF 2021 dilancarkan di pasaran Thailand, harga jualan bersamaan RM 17,124.23

Thai Suzuki Motor Company Limited pada tarikh 23hb. Mac 2021 baru-baru ini dengan rasminya melancarkan model terbaharu Suzuki Gixxer SF untuk pasaran Thailand. Model sportbike full fairing yang sporty dan bergaya itu didatangkan dalam dua pilihan warna yang menarik iaitu Metallic Triton Blue dan Metallic Matte Black.

Suzuki Gixxer SF dikuasakan enjin 249.1cc (4-stroke, single-cylinder, SOHC, 4-valve) dengan sistem penyejukan minyak, atau lebih dikenali sebagai Suzuki Oil Cooling System (SOCS). Enjin tersebut dipadankan transmisi enam kelajuan, dengan keluaran kuasa maksimum 26PS @ 9,000rpm dan tork maksimum 22Nm @ 7,300rpm.

Untuk penghidupan enjin yang mudah, Suzuki Gixxer SF dilengkapi butang penghidup Suzuki Easy Start System. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti maksimum 12 liter untuk perjalanan yang lebih jauh. Pengendalian yang terkawal disumbangkan oleh fork depan 41 mm dan suspensi belakang monoshock dengan ciri boleh laras prabeban.

Melengkapkan ciri keselamatan Suzuki Gixxer SF ialah sistem brek cakera depan dan belakang, lengkap dengan sistem ABS dua saluran. Rim roda yang sporty dibalut tayar dalam siri 110/70-R17 untuk bahagian depan dan 150/60R17 untuk bahagian belakang. Suzuki Gixxer SF turut dilengkapi fender belakang yang terpasang pada lengan ayun.

Suzuki Gixxer SF didatangkan panel meter digital LCD dengan pelbagai info penting, lampu depan dan belakang LED, tempat duduk dengan ketinggian 800 mm, paip ekzos dengan rekaan muncung berkembar dan berat hanya 160 kg. Untuk pasaran Thailand, harga Suzuki Gixxer SF 2021 ialah sebanyak THB 128,800, bersamaan RM 17,124.23.