Dengan bantuan daripada Kawasaki, adakah Super Moped Modenas akan menjadi kenyataan akhirnya?

Antara berita menarik mengenai Modenas baru-baru ini ialah syarikat pengeluar motosikal tempatan itu telah pun dilantik sebagai pengedar rasmi Kawasaki di pasaran Malaysia, melalui anak syarikat Edaran Modenas Sdn. Bhd. (EMOS). Pelantikan berkenaan secara tidak langsung telah memberikan harapan baru kepada model Super Moped Modenas.

Ini kerana berdasarkan maklumat terdahulu, Modenas dengan kerjasama Kawasaki telah dikatakan berminat untuk menghidupkan semula projek Super Moped Modenas, sehingga ianya menjadi kenyataan. Setakat ini, kali terakhir kelibat prototaip Super Moped Modenas dikesan sedang diuji di jalan raya ialah dalam bulan Januari dan April 2021 yang lepas.

Dengan pemilikan 30 peratus ekuiti di dalam Modenas ketika ini, Kawasaki dijangka akan terlibat lebih aktif dalam operasi Modenas, terutamanya dalam pengeluaran model-model terbaru Modenas. Antaranya penjenamaan semula model-model Kawasaki menggunakan lencana Modenas, serta meneruskan projek Super Moped Modenas sehingga berjaya.

Dengan bantuan daripada Kawasaki yang memiliki barisan teknologi moden dan canggih, pembangunan Super Moped Modenas tentunya akan menjadi lebih mudah dan berdaya maju. Tambahan pula Kawasaki sebelum ini sememangnya terlibat dalam pengeluaran model-model generasi pertama Modenas, antaranya seperti Modenas Kriss dan Dinamik.

Dalam tempoh beberapa bulan lagi, Modenas akan membuat pengumuman secara rasmiĀ  mengenai perancangan mereka, selepas dilantik sebagai pengedar eksklusif Kawasaki di pasaran Malaysia. Diharapkan pengumuman itu akan turut merangkumi berita mengenai model Super Moped Modenas serba baharu, yang sehingga kini masih dinanti-nantikan.