Tempahan Honda Winner X di pasaran Malaysia kini dibuka oleh wakil penjual, pelancaran rasmi pada November 2021?

Salah sebuah model moped yang mendapat perhatian begitu ramai peminat motosikal di Malaysia sejak lebih dua tahun yang lalu ialah Honda Winner X. Model tersebut pada mulanya dilancarkan khusus untuk pasaran negara Vietnam, sebelum ianya dieksport ke beberapa pasaran luar negara termasuk Jepun, Singapura, Kemboja dan Maldives.

Untuk pasaran Malaysia pula, penantian demi penantian untuk model moped bergaya sporty dengan kelengkapan sistem brek ABS itu dijangka bakal berakhir tidak lama lagi. Ini kerana pelancarannya disebut-sebut bakal berlangsung secara rasmi dalam bulan November depan, atau paling lewat akan diadakan dalam bulan Disember akan datang.

Setakat ini penampakan unit ujian model tersebut telah beberapa kali berjaya dikesan di sekitar kawasan Juru, lokasi yang terletak tidak jauh dari kilang pemasangan Boon Siew Honda di Kawasan Perindustrian Batu Kawan, Simpang Ampat, Pulau Pinang. Pasaran Malaysia dijangka akan menerima varian teratas dengan kelengkapan sistem brek ABS.

Bagaimanapun mungkin masih ada peminat yang berasa skeptikal dengan pelancaran Honda Winner X di pasaran Malaysia, memandangkan pihak Boon Siew Honda setakat ini tidak pernah mengeluarkan sebarang pengumuman rasmi, malah bayangan ‘teaser’ pertama untuk model tersebut juga sehingga kini masih belum muncul di media sosial.

Namun berita baiknya sejak hampir dua minggu yang lalu ialah tempahan untuk model moped Honda Winner X di pasaran Malaysia kini telah pun dibuka. Tempahan tersebut sebenarnya tidak diumumkan secara rasmi oleh Boon Siew Honda, namun ianya dibuka oleh wakil penjual Honda yang boleh dipercayai, termasuklah Chin Hin (Jitra) Sdn. Bhd.

Kebiasaannya wakil penjual motosikal di pasaran tempatan akan mendapat maklumat lebih awal mengenai pelancaran model-model motosikal terbaharu, dan tidak terkecuali untuk model Honda Winner X. Sekiranya anda yakin dengan pratempahan yang dibuka oleh wakil penjual dan mahu menjadi pemilik terawal, sila jangan lepaskan peluang ini.

Imbas kembali maklumat terdahulu, Honda Winner X dilengkapi enjin bersesaran 150cc (4-stroke, DOHC, 4-valve, single-cylinder, liquid-cooled, PGM-FI), dan dipadankan kotak gear enam kelajuan yang lancar. Model moped berprestasi itu menawarkan kuasa enjin maksimum yang mencapai 15.42hp @ 9,000rpm, dengan tork 13.5Nm @ 6,500rpm.

Bakal memberikan saingan sengit kepada model popular Yamaha Y15ZR dan mungkin juga Yamaha Y16ZR, Honda Winner X turut dilengkapi panel meter digital LCD pelbagai informasi, sistem lampu LED, sistem brek cakera depan dan belakang, lengkap dengan ABS, dan reka bentuk keseluruhan yang sporty dan mampu menarik perhatian ramai.

Sumber : Honda Winner X Malaysia (Official) FB