Haojue baru-baru ini telah memperkenalkan model terbaharu keluarannya iaitu Haojue UHR150 2022. Model skuter berkenaan berjaya menarik perhatian ramai kerana tampil dengan gaya rekaan mirip model Honda PCX160, terutamanya apabila melihatnya dari pandangan sisi. Spesifikasi yang melengkapinya juga boleh dikatakan serba lengkap.
Haojue UHR150 buat masa ini hanya diperkenalkan di pasaran China. Ianya dilengkapi enjin bersesaran 149cc dengan kuasa maksimum 14.2hp @ 8,500rpm dan tork setinggi 14.2Nm @ 6,500rpm. Skuter dengan berat 140 kg itu memiliki tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 8.0 liter, dan ianya boleh didapati dalam lima pilihan warna menarik.
Haojue UHR150 mempunyai tempat duduk dengan ketinggian 760 mm, jarak kelegaan bumi 120 mm, dan dilengkapi sepasang tayar depan dan belakang bersaiz 110/80-R14 dan 130/70-R14. Untuk tahap keselamatan maksimum, skuter dengan gaya elegan dan menawan itu kemudiannya dibekalkan sistem brek cakera dengan ciri ABS dua saluran.
Ciri-ciri menarik lain yang turut disediakan ialah panel meter digital, sistem lampu LED sepenuhnya, sistem keyless dan teknologi AISS (Auto Idle Start Stop). Memandangkan Haojue dan Suzuki merupakan rakan kerjasama, mungkinkah Haojue UHR150 2022 ini akan turut diperkenalkan sebagai model Suzuki Burgman 150 untuk pasaran global?