Khusus untuk peminat motosikal dalam segmen touring, Suzuki Malaysia Sdn. Bhd. kini melancarkan model Suzuki V-Strom 650XT 2021 untuk pasaran tempatan. Produk CBU dari Jepun itu boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu Champion Yellow dan Candy Daring Red / Glass Sparkle Black, dengan harga jualan asas RM 37,989.00 sahaja.
Suzuki V-Strom 650XT 2021 dilengkapi enjin bersesaran 645cc (4-stroke, liquid-cooled, DOHC, 90° V-twin) dan dipadankan transmisi enam kelajuan, dengan kuasa maksimum 71PS @ 8,800rpm dan tork 62Nm @ 6,300rpm. Untuk pengembaraan dalam jarak jauh, jentera adventure itu menawarkan tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 20 liter.
Di bahagian suspensi, Suzuki V-Strom 650XT dilengkapi fork depan teleskopik, dengan suspensi belakang tunggal yang boleh dilaraskan. Di bahagian brek, cakera depan jenis berkembar dipadankan dengan cakera belakang tunggal, lengkap dengan sistem ABS. Roda depan dan belakang model itu pula masing-masing berukuran 19 inci dan 17 inci.
Suzuki V-Strom 650XT turut dilengkapi teknologi tunggangan yang canggih, antaranya termasuklah Advanced Traction Control System, Low RPM Assist dan Suzuki Easy Start System, di samping kluster instrumen dengan pelbagai info dan lampu belakang LED. Tinggi tempat duduknya ialah 835 mm, jarak kelegaan bumi 170 mm dan berat 216 kg.
Untuk pasaran Malaysia, tempoh jaminan yang diberikan untuk model itu adalah selama 2 tahun atau 20,000 jarak perjalanan. Di pasaran luar negara, Suzuki turut menawarkan sebuah lagi model adventure iaitu Suzuki V-Strom 250 dengan enjin 248cc dua silinder. Mungkin pada masa akan datang, model itu akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia.