Kawasaki Ninja 125 2022 di pasaran Eropah kini mempunyai tiga pilihan warna, harga bermula dari RM 24,083.84

Untuk musim 2021, Kawasaki Ninja 125 di pasaran Eropah hanya diperkenalkan dalam pilihan warna tunggal Lime Green / Ebony / Pearl Blizzard White (KRT Edition). Untuk musim 2022, model itu telah menerima tambahan dua warna baharu Pearl Flat Stardust White / Metallic Spark Black dan Metallic Spark Black / Metallic Flat Spark Black.

Kawasaki Ninja 125 2022 merupakan sebuah model sport bike sporty, dikuasakan enjin 125cc (liquid-cooled, 4-stroke single, DOHC, 4-valves) dengan transmisi enam kelajuan. Kuasa maksimumnya mencapai 15PS @ 10,000rpm, dengan tork 11.7Nm @ 7,700rpm. Ianya turut dilengkapi tangki bahan api 11 liter, tinggi pelana 785 mm dan berat 149 kg.

Kawasaki Ninja 125 dilengkapi brek cakera depan 290 mm dengan sistem ABS, dengan gandingan brek cakera belakang 220 mm. Pengendaliannya yang selesa, terkawal dan stabil kemudiannya disumbangkan oleh fork depan teleskopik 37 mm, dengan padanan suspensi belakang tunggal (Uni-Trak, gas-charged shock with adjustable preload).

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Kawasaki Ninja 125 termasuklah panel meter digital, tempat duduk Ergo-Fit yang boleh dioptimumkan untuk keselesaan penunggang, rekaan di bahagian ekor belakang yang tajam dan sporty, dan penggunaan tayar depan dan belakang masing-masing dalam siri 100/80-17M/C 52S dan 130/70-17M/C 62S.

Untuk pasaran Eropah, Kawasaki Ninja 125 musim 2022 turut ditawarkan dalam versi Performance yang dilengkapi dengan beberapa aksesori tambahan asli Kawasaki, yang menjadikan penampilannya lebih sporty. Senarai aksesori asli yang ditawarkan itu ialah Arrow Silencer, Smoke Windscreen, Pillion Seat Cover dan juga Engine Slider.

Sebagai rujukan, harga di pasaran UK untuk model dengan warna Metallic Spark Black / Metallic Flat Spark Black ialah £ 4,199 (RM 24,083.84), dan £ 4,299 (RM 24,679.52) untuk model berwarna KRT Edition dan Pearl Flat Stardust White / Metallic Spark Black. Harga untuk versi Performance pula bermula dari £ 4,899, bersamaan RM 28,123.97.

Galeri : Kawasaki Ninja 125 2022

Galeri : Kawasaki Ninja 125 Performance 2022