Honda Winner X 2022 dikhabarkan tampil sebagai sebuah model serba baharu, bakal dilancarkan pada Oktober 2021?

Honda Winner X merupakan salah sebuah model moped yang sangat dinanti-nantikan pelancarannya di pasaran Malaysia. Sehingga kini masih belum diketahui bilakah ianya akan dilancarkan secara rasmi oleh Boon Siew Honda, walaupun model tersebut telah menjalani ujian jalan raya di sekitar Pulau Pinang sejak beberapa bulan yang lepas.

Namun begitu, kini muncul pula berita terbaru yang boleh dikatakan lebih mengujakan, iaitu mengenai pelancaran model Honda Winner X 2022 serba baharu (all-new model). Menurut sumber maklumat dari Vietnam yang boleh dipercayai, Honda Winner X 2022 dikatakan bakal dilancarkan di pasaran negara itu pada tarikh 10hb. Oktober 2021.

Bagaimanapun tarikh yang dikatakan itu mungkin berubah, bergantung kepada situasi semasa penularan pandemik Covid 19 di Vietnam dalam tempoh beberapa bulan lagi. Ketika ini masih belum ada gambar spyshot yang bocor mengenai model serba baharu itu, termasuklah maklumat yang tepat mengenai spesifikasi enjin yang melengkapinya.

Berdasarkan maklumat terdahulu, Honda Winner X 2022 serba baharu dijangka bakal dilengkapi enjin eSP+ bersesaran 156.93cc yang ketika ini melengkapi model terbaharu Honda PCX160 2021. Enjin tersebut dikatakan bakal mengalami naik taraf terkini, demi meningkatkan lagi prestasinya agar mampu bersaing dengan model-model moped lain.

Spesifikasi lain yang mungkin akan melengkapi Honda Winner X 2022 serba baharu itu termasuklah fork depan jenis upside-down, sistem kunci Smart Key, port pengecas USB Type-C, sistem brek ABS dengan kaliper dua piston, sistem  Assist & Slipper Clutch dan teknologi traction control yang canggih iaitu Honda Selectable Torque Control (HSTC).

Persoalannya, jika benar model Honda Winner X 2022 serba baharu bakal dilancarkan di pasaran Vietnam tidak lama lagi, bagaimana pula dengan model Honda Winner X di pasaran Malaysia? Adakah pasaran Malaysia masih lagi akan menerima model Honda Winner X versi semasa dengan enjin 150cc, atau bakal menerima model serba baharu?

Akhir sekali, walaupun berita mengenai pelancaran Honda Winner X 2022 serba baharu ini sangat mengujakan kita semua, ianya masih lagi bertaraf khabar angin yang belum dapat disahkan secara rasmi. Yang pasti, Honda Motor Vietnam tidak akan membiarkan model popular Yamaha Exciter 155 VVA 2021 terus menguasai pasaran di Vietnam.

Sumber : Iwanbanaran.com