Honda CBR150R 2021 dilancarkan di pasaran Thailand, harga bermula dari RM 11,695.00

Pasaran Malaysia baru-baru ini secara rasminya menerima kehadiran model terbaharu Honda CBR150R 2021, dengan harga jualan asas RM 12,499.00. Terkini pada dua hari yang lepas, giliran pasaran Thailand pula untuk menerima kehadiran model berkenaan, yang didatangkan dalam dua pilihan varian iaitu ABS dan juga Standard.

Bagi varian ABS, ianya dilengkapi ciri keselamatan tambahan iaitu sistem brek ABS dan Emergency Stop Signal, dan mempunyai dua pilihan warna iaitu Tri-Color Red dan Mat Gunpowder Black Metallic. Varian Standard pula tampil dengan tiga pilihan warna iaitu Mat Gunpowder Black Metallic, Millennium Red dan Mat Axis Gray Metallic.

Honda CBR150R 2021 dikuasakan enjin satu silinder yang bersesaran 149.16cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve, PGM-FI), dan seterusnya dipadankan transmisi enam kelajuan dengan sistem Assist & Slipper Clutch. Kuasa maksimum dan jumlah tork yang dihasilkan oleh enjin itu mencapai 17.1PS @ 9,000rpm dan 14.4Nm @ 7,000rpm.

Untuk prestasi tunggangan yang lebih baik, model tersebut dilengkapi fork depan jenis upside-down, suspensi belakang monoshock, roda depan dan belakang bersaiz 100/80-17 dan 130/70-17, tinggi tempat duduk 788 mm dan berat hanya 121 kg (curb). Kapasiti maksimum tangki bahan apinya ialah 12 liter, untuk jarak perjalanan yang lebih jauh.

Honda CBR150R 2021 turut hadir dengan lampu depan LED serba baharu, panel meter digital LCD sepenuhnya, dan gaya rekaan ekzos yang sporty. Untuk pasaran Thailand, harga yang ditawarkan adalah sebanyak THB 92,900 (bersamaan RM 11,695.00) untuk varian Standard, dan THB 99,900 (bersamaan RM 12,576.21) untuk varian ABS.