Menurut sumber dari cycleworld.com, syarikat pengeluar motosikal dari negara China iaitu Zontes bakal melancarkan sebuah model baharu yang akan dikenali dengan nama Zontes 350GK. Setakat ini imej paten model tersebut telah terdedah, dan ianya tampil dengan rekaan mirip model Zontes ZT155G 2021 yang dijual di pasaran Singapura.
Zontes 350GK dikatakan akan dilengkapi enjin bersesaran 350cc satu silinder, dengan kuasa maksimum yang boleh mencecah sekitar 43hp. Berdasarkan imej paten tersebut, penampilan keseluruhan Zontes 350GK sebagai sebuah model scrambler yang moden dan sporty adalah sangat menarik, tanpa perlu meniru model-model dari jenama lain.
Apabila diperkenalkan di pasaran global nanti, Zontes 350GK ini berkemungkinan besar akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia. Buat masa ini di pasaran tempatan, Zontes menawarkan empat buah model motosikal dengan enjin 312cc, pada harga jualan yang boleh dikatakan cukup berpatutan iaitu antara RM 19,500.00 sehingga RM 23,500.00.






