Di pasaran Brazil, Honda menawarkan sebuah model kapcai yang berpenampilan unik dan serba boleh. Dikenali dengan nama Honda Pop 110i, model tersebut sesuai untuk ditunggang di mana saja, sama ada di kawasan luar bandar atau pun di kawasan urban yang sibuk. Gaya rekaannya juga kelihatan lasak, dengan ciri tunggangan yang selesa.
Honda Pop 110i 2021 di pasaran Brazil ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Putih, Merah dan Hitam, dengan harga jualan sebanyak R$ 7,330.00, bersamaan RM 5,940.66. Model kapcai tersebut dikuasakan enjin bersesaran 109.1cc (OHC, single cylinder, 4 stroke, air cooled), yang kemudiannya dipadankan transmisi empat kelajuan.
Enjin dengan sistem suntikan bahan api elektronik PGM-FI yang cekap itu menawarkan kuasa maksimum 7.9hp @ 7,250rpm, dengan tork puncak 8.8Nm @ 5,000rpm. Kapasiti tangki bahan apinya ialah seluas 4.2 liter. Ciri-ciri lain yang melengkapinya termasuklah fork depan teleskopik, suspensi belakang jenis berkembar dan sistem brek jenis dram.
Honda Pop 110i 2021 berdiri di atas tayar depan bersaiz 60/100-17 dan tayar belakang bersaiz 80/100-14, dengan jarak kelegaan bumi minimum 136 mm. Tinggi tempat duduk mencapai 749 mm, dan berat keringnya ialah 87 kg. Agak menarik jika model seperti ini turut ditawarkan di pasaran Malaysia, namun nilai pasarannya dijangka kecil sahaja.