Zontes ZT155G 2021 di pasaran Singapura, enjin 155cc Euro 5, tangki petrol 20 liter dengan jarak hampir 1,000 km

Model cafe racer Zontes 125-G1 2021 di pasaran Eropah terkenal dengan ciri tangki bahan api 20 liter yang mampu menjangkau perjalanan sejauh hampir 1,000 km. Model tersebut bagaimanapun hanya untuk pasaran Eropah, sama seperti model-model lain dalam segmen 125cc yang dikhususkan untuk penunggang dengan kelas lesen A1.

Untuk pasaran ASEAN, Zontes sebenarnya turut menawarkan model yang sama, cuma ianya dilengkapi sesaran enjin yang lebih besar dengan jumlah kuasa yang lebih tinggi. Model tersebut ialah Zontes ZT155G 2021 yang ketika ini hanya ditawarkan di pasaran Singapura, dengan pelancarannya adalah sekitar bulan September 2020 yang lalu.

Zontes ZT155G 2021 merupakan model terbaharu yang menggantikan model terdahulu iaitu Zontes ZT150-G1, yang ketika ini masih lagi ditawarkan di pasaran Singapura dan dilengkapi enjin bersesaran 150cc. Walaupun reka bentuk adalah sama, namun Zontes ZT155G 2021 pastinya lebih menarik perhatian ramai kerana dilengkapi enjin 155cc.

Dengan tangki bahan api 20 liter, Zontes ZT155G 2021 juga dikatakan menawarkan jarak perjalanan sehingga menjangkau 1,000 km, dengan anggaran tahap penggunaan bahan api di antara 45 sehingga 48 km/liter. Atau lebih tepat lagi ialah mencapai 900 km untuk jarak perjalanan dengan hanya setangki penuh, yang pastinya sudah memadai.

Untuk pasaran Singapura, Zontes ZT155G 2021 ditawarkan sebagai model scrambler, dikuasakan enjin 155cc (1-cylinder, liquid-cooled, 4-valve) yang bertaraf Euro 5, dan dipadankan transmisi enam kelajuan dengan Assist & Slipper Clutch. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 18PS @ 9,250rpm dengan tork puncak 16Nm @ 7,500rpm.

Melengkapkan lagi spesifikasinya ialah dua mod tunggangan Eco dan Sport, lampu LED, panel meter digital, fork depan USD, suspensi monoshock dengan gas nitrogen, lengan ayun aluminium, rim jejari dengan tayar ‘all-terrain’, dual port pengecas USB, sistem brek cakera dengan ABS dual-channel dan berat kering hanya 138 kg sahaja.

Harga yang ditetapkan untuk Zontes ZT155G 2021 di pasaran Singapura ialah $7500 OTR (excluding COE/Insurance), bersamaan nilai semasa RM 22,887.01. Sekiranya model scrambler dengan enjin 155c dan tangki bahan api 20 liter ini turut dilancarkan di pasaran Malaysia, besar kemungkinan ianya akan mendapat sambutan yang baik.