Kawasaki Z250 2022 di pasaran Jepun terima warna baharu

Model naked Kawasaki Z250 2022 di pasaran Jepun kini tampil dengan pilihan warna terbaharu, dikenali dengan nama Metallic Spark Black / Metallic Matte Graphene Steel Gray. Untuk musim 2022, hanya satu pilihan warna sahaja ditawarkan, berbanding dua pilihan warna untuk model Kawasaki Z250 2021 yang diperkenalkan sebelumnya.

Kawasaki Z250 2022 akan berada di pasaran domestik Jepun secara rasmi mulai tarikh 10 September 2021, dengan harga jualannya ditetapkan sebanyak 610,500 Yen. Harga tersebut bersamaan nilai RM 23,526.93 mengikut kadar semasa. Selain daripada warna terbaharu, spesifikasi teknikal untuk model berkenaan tiada sebarang perubahan.

Kawasaki Z250 2022 dilengkapi enjin berkapasiti 248cc (water-cooled, 4-stroke, parallel 2-cylinder, DOHC 4-valve) dengan transmisi enam kelajuan, dan turut dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch. Enjin dua silinder yang bertenaga itu seterusnya menghasilkan kuasa maksimum 37PS @ 12,500rpm, dengan tork maksimum 23Nm @ 10,500rpm.

Antara ciri-ciri lain yang melengkapi Z250 termasuklah fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera dengan ABS, panel instrumen digital pelbagai fungsi dengan takometer, lampu depan dan belakang LED, tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 14 liter, ketinggian tempat duduk 795 mm dan berat hanya 164 kg.

Sumber gambar : Kawasaki1ban