Pada tahun 2017 yang lepas, dunia permotoran tempatan gempar dengan kemunculan lakaran imej sebuah model super moped terbaharu, yang dikatakan bakal dilancarkan oleh Kawasaki. Berdasarkan maklumat yang tersebar, model tersebut dikuasakan enjin bersesaran 175cc, lengkap dengan pelbagai komponen motosikal berkuasa tinggi.
Sejak dari itu ramai peminat yang menaruh harapan tinggi agar model Kawasaki Super Moped 175cc itu menjadi realiti. Namun begitu akhirnya terbongkar jua bahawa lakaran imej itu sebenarnya terhasil daripada imaginasi dan fantasi peminat tegar sahaja. Tidak mungkin pihak Kawasaki akan mengeluarkan kembali sebuah model moped terbaharu.
Berdasarkan maklumat terdahulu, lakaran imej Kawasaki Super Moped 175cc sporty itu dilakukan melalui pengubahsuaian atau pengeditan terhadap gambar sebenar jentera naked berprestasi tinggi Kawasaki Z1000. Ucapan tahniah perlu diberikan kepada pihak atau individu yang melakarkan imej tersebut, kerana hasilnya boleh dikatakan menarik.
Bagaimanapun apa yang dianggap hanya sebagai lakaran dan kemudiannya dilupakan, rupa-rupanya telah menjadi inspirasi kepada sebuah syarikat pengeluar motosikal dari negara China. Akhirnya kini muncul model moped terbaharu Rato SVR180, yang tampil dengan reka bentuk mirip lakaran imej model Kawasaki Super Moped 175cc yang asal.
Ternyata pengeluar motosikal dari negara China bijak mengambil setiap peluang yang ada di depan mata. Oleh kerana Kawasaki tidak mengeluarkan model tersebut, jadi apa salahnya mereka mengambil peluang untuk menghasilkan model moped mereka sendiri tanpa perlu bersusah-payah untuk memerah otak mencari idea dalam seni reka bentuk.
Dari segi gaya rekaan keseluruhan, Rato SVR180 tampil sporty apabila menggunakan lampu depan mirip model Kawasaki Z1000, menjadikan penampilannya kelihatan begitu agresif dan garang. Walaupun Kawasaki Super Moped 175cc tidak menjadi kenyataan, sekurang-kurangnya Rato SVR180 akan berada di pasaran Malaysia tidak lama lagi.
Artikel berkaitan :