Nexus 110A 2021 di pasaran Peru, kapcai mirip model Honda Wave 125X Ultimo

Pasaran motosikal keluaran China sememangnya sangat besar, sehingga menjangkau ke pasaran di benua Amerika Selatan. Pelbagai model motosikal ditawarkan, antaranya termasuklah model-model kapcai dengan pelbagai reka bentuk menarik. Untuk pasaran Peru misalnya, terdapat model kapcai Nexus 110A 2021 yang seperti pernah dilihat ini.

Nexus 110A menggabungkan reka bentuk model kapcai Honda Wave 125X Ultimo yang pernah dijual di pasaran negara kita suatu ketika dahulu, bersama-sama rekaan lampu depan di bahagian dada yang mirip model Suzuki Shogun 125RR. Menjadikannya lebih menyerlah ialah pemasangan raga pada bahagian depan mirip gaya popular Thailand.

Nexus 110A dikuasakan enjin bersesaran 110cc (1-cylinder, 4-stroke, OHC, air-cooled) yang dipadankan kotak gear empat kelajuan, dengan kuasa maksimum 7.37hp. Sistem brek cakera dan dram seterusnya melengkapkan ciri keselamatannya. Keseluruhannya, kualiti pemasangan Nexus 110A ini kelihatan kemas, setanding jenama terkenal lain.