PT Astra Honda Motor (AHM) baru-baru ini dengan rasminya telah melancarkan model terbaharu Honda Monkey 2022 untuk pasaran Indonesia. Hadir dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Banana Yellow, Pearl Nebula Red dan Pearl Shining Black, harga jualan untuk model tersebut ditetapkan sebanyak Rp. 79,345,000, bersamaan RM 23,388.81.
Honda Monkey 2022 terbaharu dikuasakan enjin 124cc (air-cooled, SOHC, 4-stroke, 2-valve) yang dibawakan daripada model Honda MSX125 Grom, dan menjana 9.25hp @ 6,750rpm dengan tork 11Nm @ 5,500rpm. Enjin itu kemudiannya dipadankan transmisi lima kelajuan, bagi menggantikan transmisi empat kelajuan pada model sebelumnya.
Model mini itu seterusnya dilengkapi tangki bahan api 5.6 liter, panel meter digital LCD, sistem lampu LED, fork depan terbalik 31 mm, suspensi belakang jenis berkembar, brek cakera depan 220 mm dengan ABS, brek cakera belakang 190 mm, ukuran tayar depan dan belakang bersaiz 120/80-12 dan 130/80-12, dan berat hanya 104 kg (curb weight).
Honda Monkey 2022 turut dilengkapi teknologi Anti Theft Alarm & Answer Back System, untuk tahap keselamatan maksimum dan memudahkan pencarian motosikal itu selepas ianya diparking. Untuk pasaran Malaysia, tidak pasti sama ada Honda Monkey 2022 ini akan membuat kemunculan semula selepas ini, kerana harga jualannya yang tinggi.