Felo FW06 2021 kini di pasaran China, skuter elektrik yang diasaskan daripada model Kymco F9

Masih ingatkah lagi dengan model skuter elektrik Kymco F9 2021 yang diperkenalkan pada tahun lepas? Model tersebut kini secara rasminya telah pun ditawarkan di pasaran China oleh sebuah syarikat yang bernama Felo, sudah tentu dengan kerjasama Kymco. Untuk pasaran China, dua varian ditawarkan iaitu Felo FW06 GL dan Felo FW06 DX.

Apa yang berbeza pada kedua-dua model tersebut ialah jarak perjalanan dengan sekali cas, yang mana FW06 GL mempunyai jarak perjalanan sejauh 110 km, manakala FW06 DX mampu mencapai jarak perjalanan sehingga 140 km. Harga jualan yang ditawarkan ialah ¥ 26,800 (RM 17,503.06) untuk GL dan ¥ 28,800 (RM 18,809.25) untuk DX.

Felo FW06 GL dilengkapi bateri dengan kapasiti 96V 44Ah, sementara Felo FW06 DX dilengkapi bateri dengan kapasiti 96V 51Ah. Kedua-duanya boleh dicas sehingga penuh dalam tempoh antara 4 hingga ke 6 jam. Kuasa maksimum yang dihasilkan oleh motor elektriknya (brushless DC motor) mencapai 10kW, dengan tork puncak setinggi 30Nm.

Felo FW06 turut dilengkapi kotak gear automatik dua kelajuan, membolehkan penjana kuasanya melakukan pecutan pantas dari sifar ke 50 km/j dalam tempoh hanya 3 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 110 km/j. Untuk tahap keselamatan maksimum, ianya ditugaskan kepada brek cakera depan dengan ABS dan brek cakera belakang.

Ciri-ciri menarik lain yang melengkapi Felo FW06 termasuklah panel meter digital LCD, sistem lampu LED, sistem penghidup tanpa kunci dan aplikasi pintar yang boleh dimuat turun melalui telefon bimbit untuk mendapatkan maklumat dalam masa sebenar. Pilihan warna yang ditawarkan untuk Felo FW06 ialah Fluorescent Green dan Graffiti Version.