Kawasaki Z250 2021 diperkenalkan, di pasaran Jepun mulai 06hb. November 2020

Selepas pelancaran model sport bike Kawasaki Ninja ZX-25R, timbul desas-desus yang mengatakan bahawa Kawasaki mungkin akan turut memperkenalkan versi naked untuk model berkenaan. Model yang dimaksudkan itu ialah Kawasaki Z250 dengan enjin 250cc empat silinder, sebagai kembar sebenar kepada model Ninja ZX-25R.

Bagaimanapun setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada khabar angin itu akan menjadi kenyataan atau pun tidak, namun kemungkinannya tetap ada. Yang pasti bukan dalam tempoh terdekat ini, kerana Kawasaki baru saja memperkenalkan versi terbaharu Z250 model tahun 2021, khusus untuk pasaran domestik Jepun.

Kawasaki Z250 2021 bakal berada di pasaran Jepun pada tarikh 06hb. November 2020, dalam dua pilihan warna menarik iaitu Pearl Night Shade Teal x Metallic Flat Spark Black dan Candy Cardinal Red x Metallic Flat Spark Black. Selain daripada kemaskini warna terbaharu, aspek teknikal masih kekal sama seperti model tahun 2020.

Kawasaki Z250 dikuasakan enjin bersesaran 248cc (water-cooled, 4-stroke parallel 2-cylinder, DOHC 4-valve) dengan transmisi enam kelajuan, dan turut dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch. Enjin dua silinder yang bertenaga itu menghasilkan kuasa maksimum 37PS @ 12,000rpm dengan tork maksimum 23Nm @ 10,500rpm.

Ciri-ciri teknikal yang melengkapi Z250 termasuklah fork depan teleskopik, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera dengan ABS, panel instrumen digital pelbagai fungsi dengan takometer, lampu depan dan belakang LED, tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 14 liter, ketinggian tempat duduk 795 mm dan berat 164 kg.

Untuk pasaran domestik Jepun, Kawasaki Z250 2021 ditawarkan pada harga 610,500 Yen, bersamaan RM 24,023.33 berdasarkan kadar tukaran semasa. Di pasaran Malaysia pula, Kawasaki Z250 model tahun 2020 ditawarkan pada harga sebanyak RM 21,998.00, (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Sumber gambar : Kawasaki1ban.com