PT Astra Honda Motor (AHM) kini secara rasminya melancarkan model kapcai bertaraf legenda Honda Super Cub C125 2022 untuk pasaran Indonesia. Mempunyai tiga pilihan warna menarik iaitu Matte Axis Gray Metallic, Pearl Niltava Blue dan Pearl Nebula Red, harga jualannya ditawarkan sebanyak Rp. 73,645,000.00, bersamaan RM 21,688.98.
Merupakan sebuah model kapcai dengan pelbagai ciri-ciri moden dan premium, Honda Super Cub C125 versi terbaharu dilengkapi enjin berkapasiti 124cc (air-cooled, SOHC, 4-stroke, 2-valve, PGM-FI) dengan transmisi empat kelajuan. Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkannya mencapai 9.65hp @ 7,500rpm, dengan tork 10.4Nm @ 6,250rpm.
Honda Super Cub C125 seterusnya dilengkapi tangki bahan api 3.7 liter, sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter dengan ciri digital dan analog, sistem kunci Honda Smart Key, tempat duduk belakang baharu untuk pembonceng yang kini didatangkan sebagai ciri standard, sistem brek cakera di bahagian roda depan dan rim aloi bergaya sporty.
Turut melengkapinya ialah tool box pada bahagian sisi di sebelah kanan, khusus untuk bawaan barang-barang secara minimalis. Di pasaran Malaysia, Honda Super Cub C125 versi tempat duduk tunggal pernah ditawarkan dengan harga RM 13,999.00, namun kini ianya tidak lagi dipaparkan di dalam laman sesawang rasmi milik Boon Siew Honda.






























