Honda CBR150R 2021 di pasaran Laos, tiga pilihan warna termasuk sentuhan warna hijau, harga mula RM 18,781.22

Model sport bike Honda CBR150R 2021 baru-baru ini telah pun dilancarkan di pasaran Kemboja, dalam tiga pilihan warna yang menyerlah. Namun sebelum itu, model tersebut secara rasminya dilancarkan di pasaran Laos pada tarikh 16hb. Ogos 2021, dalam tiga pilihan warna yang sama. Harga jualan bermula dari Kip 43,030,000 (RM 18,781.22).

Untuk pasaran Laos, Honda CBR150R dilancarkan oleh Honda Laos NCX, iaitu syarikat yang sama yang memasarkan model tersebut untuk pasaran Kemboja. Berbanding lain-lain pasaran, Honda CBR150R untuk pasaran Laos dan Kemboja tampil dengan pilihan warna yang unik, terutamanya bagi skim warna kelabu dengan sentuhan warna hijau.

Imbas kembali spesifikasinya, Honda CBR150R 2021 ini dikuasakan enjin satu silinder berkapasiti 149.16cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 4-valve, PGM-FI), dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Kuasa maksimum dan jumlah tork yang terhasil mencapai 17.1PS @ 9,000rpm dan 14.4Nm @ 7,000rpm.

Untuk prestasi tunggangan, kawalan dan tahap keselamatan yang lebih baik, model itu seterusnya dilengkapi fork depan jenis terbalik, suspensi belakang monoshock, sistem brek dengan ABS (pilihan), teknologi Emergency Stop Signal, tayar depan dan belakang bersaiz 100/80-17 dan 130/70-17, tinggi tempat duduk 788 mm dan berat 121 kg (curb).

Jika diperhatikan, Honda CBR150R 2021 untuk pasaran Laos ini hadir dalam dua versi iaitu Non-ABS dan ABS. Bagi model berwarna merah dan kelabu, ianya tidak dilengkapi sistem brek ABS, sebaliknya hanya model berwarna hitam dilengkapi ABS. Diharapkan selepas ini, pasaran Malaysia pula akan menerima ketibaan model sport bike sporty ini.