KTM memperkenalkan jentera perlumbaan terbaharu KTM RC 8C 2022, dalam jumlah terhad 100 unit sahaja. Menurut laporan daripada laman Asphalt & Rubber, model yang hanya dikhususkan untuk kegunaan di litar itu boleh dimiliki dengan harga $ 38,999.00, bersamaan nilai RM 165,063.27 mengikut kadar tukaran mata wang semasa.
KTM RC 8C merupakan hasil buatan tangan sepenuhnya, dikuasakan enjin LC8c dalam sesaran 889cc (2-cylinder, DOHC, 8-valve parallel twin), dan dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan. Hamburan kuasa maksimumnya mencapai 128hp dengan tork 101Nm. Dengan berat kering hanya 140 kg, nisbah kuasa kepada beratnya hampir 1:1.
Di bahagian casis, jentera tersebut menggunakan kerangka steel tubular 25CrMo4 khas bersama-sama sistem suspensi WP APEX PRO di bahagian depan dan belakang. Brek cakera bertaraf perlumbaan daripada Brembo melengkapkan ciri keselamatannya pada tahap tertinggi. Di bahagian roda, rim aluminium ringannya merupakan buatan Dymag.
Sistem ekzos perlumbaan khas pada KTM RC 8C hadir bersama-sama muffler titanium Akrapovic untuk prestasi optimum. Untuk pengumpulan data, jentera itu menggunakan papan pemuka AIM MXS 1.2 RACE dan data logger yang diintergrasikan dengan fungsi GPS. Semua maklumat dipaparkan oleh skrin TFT 5″ dengan rakaman data bersepadu.