Yamaha Sniper 155 2021 dilancarkan di pasaran Singapura

Selepas Vietnam, Malaysia dan Filipina, kini tibalah giliran pasaran Singapura untuk menerima kehadiran model moped Yamaha Sniper 155 2021. Untuk pasaran di negara seberang tambak itu, Yamaha Sniper 155 2021 hanya didatangkan dalam versi tunggal, dalam tiga pilihan warna yang menarik iaitu Blue, Yellow Hornet dan juga Black.

Spesifikasi Yamaha Sniper 155 2021 untuk pasaran Singapura didapati sama seperti model Yamaha Y16ZR 2021 di pasaran Malaysia. Ianya dikuasakan enjin 155cc dengan teknologi VVA, dan menghasilkan  kuasa maksimum 17.7hp @ 9,500rpm dengan tork maksimum 14.4Nm @ 8,000rpm. Sistem transmisinya pula ialah enam kelajuan.

Bagaimanapun berdasarkan maklumat di dalam brosur, Yamaha Sniper 155 2021 untuk pasaran Singapura tidak dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch. Spesifikasi lain yang melengkapinya termasuklah panel meter digital, sistem kunci pintar, soket pengecas DC 12V, lampu depan dan belakang LED, dan tangki bahan api yang lebih besar 5.4 liter.

Selain itu, skim warna dan jalur grafik cover set yang melengkapi Yamaha Sniper 155 2021 di pasaran Singapura didapati sama seperti mana cover set milik Yamaha Sniper 155 2021 di pasaran Filipina. Oleh kerana pasaran Singapura berjiran dengan Malaysia, mungkin selepas ini mudah untuk mendapatkan cover set milik Yamaha Sniper 155.

Sumber gambar tambahan : New Southern Motor FB