Sejak beberapa bulan yang lepas, timbul spekulasi mengenai kemungkinan Honda akan melancarkan model terbaharu Honda Vario 160. Model tersebut dikatakan bakal dilengkapi enjin eSP+ baharu yang bersesaran 156.9cc (liquid-cooled, 4-stroke, single-cylinder) dengan empat injap, yang diperkenalkan melalui model Honda PCX160 2021.
Disebabkan spekulasi itu, ramai peminat yang tertunggu-tunggu akan kehadiran model tersebut, yang dijangka akan muncul pada tahun 2021 atau 2022. Akhirnya penantian itu hampir berakhir apabila gambar-gambar spyshot Honda Vario 160 telah muncul di dalam beberapa buah laman blog dari Vietnam dan Indonesia pada minggu lepas.
Berdasarkan gambar-gambar spyshot tersebut, Arena Motosikal mendapati model yang dipaparkan itu seperti pernah dilihat sebelum ini, dan yakin bahawa ianya adalah skuter klon buatan China. Melalui siasatan yang dijalankan, model tersebut sebenarnya ialah skuter Dynasty 150i buatan syarikat Chongqing Esenda Trading Co., Ltd dari China.
Model tersebut juga dijual di pasaran Filipina oleh syarikat MotorStar Philipines, dengan nama baharu MotorStar Easyride 150CL. Oleh itu adalah agak menghairankan kenapa model skuter klon buatan China ini dikatakan sebagai model terbaharu Honda Vario 160 tanpa bukti yang jelas. Mungkin ianya untuk meraih jumlah pelayar internet yang tinggi.