Honda Vietnam baru-baru ini pada tarikh 24 Mei 2021 telah mengumumkan ringkasan aktiviti bagi tahun fiskal 2021 dan perancangan untuk tahun fiskal 2022. Antara laporan menarik yang dibentangkan ialah mengenai prestasi jualan model Honda Winner X bagi tahun fiskal 2021 di pasaran Vietnam, yang mencatatkan jualan hampir 112,000 unit.
Keseluruhannya, prestasi jualan motosikal Honda Vietnam bagi tahun fiskal 2021 telah mencapai lebih 2.1 juta unit, berkurangan sehingga 18 peratus berbanding tahun fiskal 2020. Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada penurunan jumlah jualan tersebut ialah disebabkan pandemik Covid 19 yang masih memberikan kesan kepada pasaran.
Bagi tahun fiskal 2022, Honda Vietnam telah membuat jangkaan awal bahawa pasaran motosikal akan terus terjejas disebabkan oleh pandemik Covid 19. Namun syarikat itu dikatakan telah bersedia dan akan mengambil langkah-langkah praktikal secara proaktif dalam usaha mendorong pasaran menyumbang kepada masyarakat secara berterusan.
Dalam perancangan seterusnya bagi tahun fiskal 2022, Honda Vietnam telah membuat kenyataan bahawa syarikat tersebut akan terus memperkenalkan banyak model-model baharu dan versi terkini untuk lebih memenuhi keperluan pengguna. Salah satu model baharu yang dijangka akan diperkenalkan itu ialah versi terkini Honda Winner X 160.
Honda Winner X 160 dijangka akan dilengkapi enjin eSP+ bersesaran 156.93cc, yang ketika ini diperkenalkan melalui model skuter Honda PCX160. Antara ciri-ciri terbaharu lain yang diharapkan melengkapinya ialah fork depan USD, Smart Key, port pengecas USB Type-C, Assist & Slipper Clutch dan Honda Selectable Torque Control (HSTC).