Honda Winner X merupakan sebuah model moped yang dilancarkan khusus di pasaran Vietnam. Model tersebut merupakan jawapan kepada model popular Yamaha Exciter 150 yang ketika itu mendominasi pasaran moped di negara tersebut. Honda Winner X dibangunkan dengan asasnya daripada model sebelumnya Honda Winner 150.
Sehingga bulan Mei 2021, Honda Winner X hanya dipasarkan secara rasmi oleh Honda di pasaran Vietnam, manakala untuk pasaran luar seperti Singapura, Burkina Faso dan Jepun, ianya dibawa masuk oleh syarikat persendirian, atau lebih dikenali sebagai ‘grey importer’ (pengimport bebas). Terkini Honda Winner X ditawarkan di pasaran Kemboja.
Kemboja (Cambodia) ialah sebuah negara ASEAN yang terletak bersempadan dengan negara Vietnam. Oleh itu tidak hairanlah kenapa Honda Winner X telah dibawa masuk ke pasaran negara tersebut dengan mudah. Di pasaran Malaysia, situasi tersebut tidak berlaku, kerana hak pengedaran motosikal Honda eksklusif milik Boon Siew Honda.
Berdasarkan maklumat yang ada, Honda Winner X di pasaran Kemboja dibawa masuk sejak beberapa bulan yang lepas, sebagai model tahun 2021. Kedua-dua versi standard dan ABS ditawarkan untuk pasaran negara tersebut, dan didatangkan dengan pelbagai pilihan warna yang menarik, seperti mana yang dipaparkan di dalam galeri di bawah.
Untuk pasaran Malaysia, ketika ini peminat tegar Honda Winner X masih setia menanti pelancaran model tersebut yang dijadualkan berlangsung dalam jangka masa terdekat. Bagi para pemilik Honda RS150R yang tidak-tidak sabar untuk memiliki sebuah Honda Winner X, jalan pintasnya ialah dengan menukar cover set penuh model berkenaan.
Sebelum ini di pasaran Malaysia, para peminat Honda Winner X berasa kecewa apabila Boon Siew Honda dilaporkan telah menjalankan kajian sendiri mengenai pasaran model Honda RS150R V2 atau Honda Winner X, dan syarikat tersebut memberikan jawapan bahawa peminat motosikal moped Honda lebih menggemari model Honda RS150R V2.
Tidak pasti sama ada kajian yang dikatakan dijalankan oleh pihak Boon Siew Honda itu adalah benar-benar berlaku, atau hanya sekadar mitos daripada peminat Honda Winner X yang kecewa. Yang pasti tidak lama lagi Honda Winner X akan menerjah pasaran di Malaysia, dan bakal bersaing dengan model Honda Y16ZR dan juga Benelli R18i.
Sumber : Hor Hor Shop FB