Pada bulan Mac 2021 yang lepas, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan insentif pengecualian duti eksais 100 peratus untuk motosikal versi pemasangan tempatan atau CKD dengan enjin di bawah 150cc, bagi tempoh 01hb. April sehingga 31hb. Disember 2021. Pengecualian cukai itu diperkenalkan kerajaan di bawah insentif PEMERKASA.
Ini bermakna harga jualan motosikal baharu di bawah 150cc di pasaran tempatan akan mengalami penurunan harga, dan ianya mungkin berbeza bagi setiap model motosikal. Antara model moped paling popular di pasaran tempatan pada ketika ini ialah Yamaha Y15ZR V2, yang sebelum ini ditawarkan dengan harga asas sebanyak RM 8,168.00.
Oleh itu selepas mengambil kira pengecualian duti eksais, timbul persoalan berapakah penurunan harga sebenar untuk model tersebut? Berdasarkan maklumat, pengecualian duti eksais untuk Yamaha Y15ZR V2 adalah sekitar RM 700.00. Jika jumlah itu adalah benar, bermakna harga asasnya tanpa duti eksais adalah sekitar RM 7,468.00 sahaja.
Katakanlah harga insuran first party, cukai jalan dan kos pendaftaran keseluruhan yang ditetapkan adalah sebanyak RM 500.00 (anggaran maksimum, sekadar contoh), harga pembelian tunai untuk motosikal tersebut bolehlah dikatakan berada dalam lingkungan RM 8,000.00 sahaja. Namun benarkah itu harga tunai yang dibayar oleh pembeli?
Berdasarkan tinjauan yang telah dilakukan sendiri oleh Arena Motosikal, kebanyakan wakil penjual masih menetapkan harga semasa (jualan tunai OTR) Yamaha Y15ZR V2 sekitar RM 9,500.00. Harga tersebut sudah tentu tidak mencerminkan bahawa ianya merupakan model yang telah menerima insentif pengecualian duti eksais dari kerajaan.
Pihak Arena Motosikal tidak mempertikaikan hak wakil penjual untuk menetapkan harga jualan untuk mana-mana model motosikal yang dijual oleh mereka. Ini kerana motosikal merupakan komoditi yang tidak tertakhluk kepada harga kawalan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Wakil penjual bebas meletakkan harga sendiri demi meraih keuntungan.
Cuma secara logiknya, apa guna pihak kerajaan memperkenalkan pengecualian duti eksais bagi setiap pembelian motosikal di bawah 150cc, jika rakyat biasa langsung tidak mendapat faedahnya? Tanpa faedah untuk rakyat, bermakna keuntungan hasil daripada pengeculian duti eksais itu akan pergi kepada pihak wakil penjual semata-mata. Ironik.
Kadang-kadang terfikir juga, adakah keputusan pihak kerajaan untuk memperkenalkan pengecualian duti eksais itu merupakan cadangan daripada wakil penjual motosikal? Jika keputusan itu dibuat oleh barisan menteri kabinet atau daripada pihak kementerian yang berkaitan, adakah mereka menjalankan kajian yang sepatutnya terlebih dahulu?
Malah lebih mengejutkan dan mungkin juga menjengkelkan ialah telah ramai peminat motosikal tempatan yang membuat aduan kepada pihak berwajib iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), namun semuanya senyap dan tiada sebarang perkembangan konkrit bagi mengatasi masalah tersebut.
Niat pihak kerajaan sudah cukup baik, kerana sanggup mengorbankan kutipan duti eksais bagi jualan motosikal di pasaran tempatan, agar rakyat marhaen yang terjejas akibat pandemik Covid 19 mampu membeli motosikal dengan harga yang lebih rendah. Namun sayang sekali apabila yang dikejar tidak dapat, yang dikendong pula berciciran.