Yamaha 125ZR Super Sport GP Edition 2016, harga jualan dalam bulan Mac 2016 serendah RM 11k sahaja

Yamaha 125ZR Super Sport di pasaran Malaysia pada ketika ini telah menjadi sebuah model moped dua lejang bertaraf legenda, dengan harga jualannya bagi versi New Old Stock (NOS) mencecah sehingga RM 25k. Contohnya ialah bagi model Yamaha 125ZR Super Sport 2017 yang dijual di Johor Bahru pada bulan Oktober 2020 yang lepas.

Namun begitu pada tahun 2016 yang lalu, harga jualan yang ditawarkan untuk Yamaha 125ZR Super Sport GP Edition, seperti mana yang dipaparkan di dalam galeri di bawah, hanya serendah RM 11k sahaja. Gambar-gambar tersebut dan paparan video YouTube telah dirakamkan sendiri oleh penulis di Pekan Bedong, Kedah pada bulan Mac 2016.

Ketika itu penulis merasakan harga sebanyak RM 11k yang ditawarkan itu adalah terlalu tinggi dan dirasakan tidak berbaloi. Namun anggapan penulis rupa-rupanya tidak tepat, kerana selepas itu harga jualan untuk model berkenaan terus meningkat lebih tinggi dari tahun ke tahun. Bayangkan kalau penulis membeli dan menjualnya semula ketika ini.

Berdasarkan pemerhatian di dalam laman jual beli popular Mudah.my, masih terdapat model Yamaha 125ZR edisi Movistar MotoGP bertaraf NOS yang dijual pada ketika ini. Namun harga jualan tunai yang ditawarkan telah meningkat ke tahap yang lebih tinggi, iaitu sebanyak RM 36,800.00. Pastinya model itu khusus untuk peminat tegar sahaja.

Sumber gambar : Motosikal.info