Tentera Darat Malaysia (TDM) kelmarin telah menerima sejumlah motosikal scrambler WMoto SXR 300cc, sebagai aset Op Benteng terbaharu. Penyerahan motosikal yang bercirikan off-road itu merupakan perolehan mobiliti TDM bagi Fasa 2.
Majlis penyerahan telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Datuk Zamrose bin Mohd Zain, dalam majlis yang diadakan bertempat di 92 Depot Kenderaan Pusat (92 DKP), Kem Batu Kentonmen, Kuala Lumpur.
Sebaik ketibaan Tan Sri PTD, majlis telah dimulakan dengan sesi taklimat berkaitan pengoperasian dan pengendalian motosikal tersebut, yang disampaikan oleh Pengarah Syarikat Global Mahawangsa Sdn. Bhd., Datuk Cham Nong Aliap.
Tan Sri PTD kemudiannya menerima replika kunci motosikal tersebut yang diserahkan oleh Pengarah Syarikat Global Mahawangsa, sebagai simbolik penyerahan aset kepada TDM. Majlis yang berlangsung itu telah dilaksanakan secara ringkas di dalam norma baharu bagi mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan.
Penerimaan aset terbaharu itu adalah bertepatan dengan Tonggak Pertama PTD Ke – 28 iaitu “Kelangsungan Misi dan Kesiagaan”, yang memberikan penumpuan kepada perolehan dan penyelenggaraan aset-aset bagi memastikan kesiagaan tempur TDM berada di tahap yang terbaik untuk sebarang aturgerak operasi.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Panglima Logistik Tentera Darat, Mejar Jeneral Muhammad Ariff Soo bin Abdullah, serta penglibatan minima Pegawai Kanan TDM sejajar dengan pematuhan SOP dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Berkaitan motosikal scrambler WMoto SXR 300cc itu, Arena Motosikal telah membuat carian lanjut di dalam internet, namun gagal mendapatkan maklumat mengenai model asalnya dan juga spesifikasi teknikal yang melengkapinya.
Sumber : Tentera Darat Malaysia FB